Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Bagi Perlindungan Pekerja Daripada Kesan Jerebu di Tempat Kerja (Edisi Kedua 2026) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan tenaga kerja negara kekal terjamin sepanjang fenomena jerebu berlaku.
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), pihak majikan diwajibkan menjalankan penilaian risiko yang komprehensif serta mengambil langkah mitigasi sewajarnya, termasuk menghentikan kerja-kerja luar sekiranya kualiti udara merosot ke tahap berbahaya.
Menurut garis panduan berkenaan, DOSH mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan perintah henti kerja sekiranya ancaman jerebu membahayakan keselamatan atau kesihatan pekerja tanpa ada tindakan pencegahan yang diambil oleh majikan.
Kegagalan mematuhi perintah tersebut merupakan suatu kesalahan serius di bawah undang-undang.
Mana-mana majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, denda tambahan sehingga RM2,000 sehari boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
DOSH menegaskan bahawa garis panduan ini menetapkan ambang Indeks Pencemar Udara (IPU) 24 jam sebagai rujukan utama tindakan pencegahan di tempat kerja.
“Apabila nilai IPU melebihi 100, kualiti udara berada pada tahap tidak sihat dan pekerja terdedah kepada risiko keselamatan serta kesihatan yang tinggi akibat jarak penglihatan yang terhad dan kesan buruk jerebu.
“Majikan wajib menyediakan topeng muka sekurang-kurangnya jenis N95 kepada pekerja yang bertugas di luar bangunan, di samping melakukan ujian penyesuaian (fit testing) bagi memastikan topeng dipakai dengan betul,” petik garis panduan berkenaan.
Bagi pekerja yang berisiko tinggi — seperti mereka yang mempunyai masalah jantung atau saluran pernafasan — majikan dikehendaki memindahkan mereka ke tugasan dalam bangunan sekiranya IPU melebihi 100, serta mengelakkan sebarang kerja fizikal yang berat apabila IPU melepasi paras 200.
Ringkasan Tindakan Mengikut Paras IPU di Tempat Kerja:
IPU 101 – 200 (Tidak Sihat): Mengurangkan kerja luar yang melibatkan aktiviti fizikal berat. Majikan perlu menyediakan respiratori N95 kepada pekerja berisiko dan memindahkan mereka ke dalam bangunan jika mengalami kesukaran bernafas. Tapak pembinaan perlu disiram air secara berkala untuk mengurangkan debu.
IPU 201 – 300 (Sangat Tidak Sihat): Mengelakkan kerja fizikal berat di luar. Semua pekerja luar wajib memakai topeng N95. Kerja-kerja tanah (earthworks) hendaklah dihentikan sementara waktu.
IPU 301 – 400 (Berbahaya): Penilaian risiko khusus perlu dijalankan untuk menghentikan operasi mengangkat menggunakan kren menara atau kren bergerak akibat jarak penglihatan yang terhad. Pemandu kenderaan disaran menyalakan lampu hadapan.
IPU Melebihi 400 (Sangat Berbahaya): Semua aktiviti kerja luar mesti dihentikan serta-merta melainkan bagi perkhidmatan kecemasan dan esensial yang diperlengkapkan dengan respiratori bersesuaian, sementara menantikan arahan lanjut daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
Di samping itu, garis panduan ini menggesa majikan untuk meningkatkan kecekapan sistem penapisan udara (Air Processing Unit) di dalam bangunan, memastikan pintu serta tingkap sentiasa ditutup, dan mewujudkan saluran komunikasi khas bagi membolehkan pekerja melaporkan sebarang simptom kesihatan seperti batuk, sakit tekak, dan sesak nafas dengan kadar segera.