Satu kemalangan maut yang amat menyayat hati telah berlaku di Jalan Renggam-Kluang pada jam 1.15 tengah hari, yang melibatkan lima buah kenderaan.

Tragedi ngeri ini telah meragut nyawa empat sekeluarga dan berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab memandu kenderaan secara laju serta melulu.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemalangan berpunca daripada dua beradik yang memandu dua buah kereta mewah secara laju dan berbahaya, petik Harian Metro.

Kejadian bermula apabila seorang lelaki berusia 22 tahun yang memandu kereta jenis BMW 530e sedang dalam perjalanan dari arah bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Kenderaan tersebut dipandu secara melulu bersama-sama dengan sebuah lagi kereta jenis Mercedes Benz A250 yang dipandu oleh adiknya, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Semasa kejadian, kereta BMW 530e terbabit telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Akibatnya, kenderaan tersebut merempuh empat buah kenderaan lain secara serentak, iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira, dan sebuah lagi Mercedes Benz yang sedang berada di laluan berkenaan.

Selepas rempuhan yang dahsyat itu, BMW 530e tersebut telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.

Rempuhan tersebut telah menyebabkan kesemua empat ahli keluarga yang menaiki kereta Toyota Vios disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun, isterinya yang berumur 33 tahun, seorang wanita warga emas berusia 73 tahun, dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun.

Selain itu, pemandu kereta BMW 530e yang berusia 22 tahun itu juga maut ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa-mangsa lain yang terselamat kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Antara yang tercedera ialah pemandu Perodua Alza (lelaki, 43 tahun) yang cedera di kaki, manakala dua orang penumpangnya (kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan tujuh tahun) mengalami kecederaan di kepala.

Turut cedera adalah pemandu Proton Wira (lelaki, 22 tahun) yang mengalami kecederaan di bahagian mulut, manakala pemandu sebuah lagi Mercedes Benz (wanita, 57 tahun) hanya mengalami kecederaan ringan.

Susulan daripada nahas tersebut, pihak polis telah bertindak menahan remaja berusia 19 tahun yang memandu Mercedes Benz A250 dan merampas kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Walaupun ujian saringan air kencing menunjukkan suspek negatif daripada sebarang bahan terlarang, pihak berkuasa akan membuat permohonan reman ke atasnya di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Keseluruhan kes kemalangan ini juga sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) akta yang sama.

Pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama orang awam. Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta untuk segera menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256, atau 014-365682

Sumber