Pada pagi tadi sebuah pesawat ringan bagi tujuan latihan terhempas di kawasan ladang dekat Sungkai, lapor Berita Harian.

Dua individu berada di dalam pesawat jenis Cessna 172 itu adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran berusia 30-an dan pelatih, Le Ho Jia berusia 20-an dilaporkan mengalami kecederaan.

Baca Juga:

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata menerima panggilan kecemasan jam 9.46 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor segera dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, makluman awal diterima memaklumkan sebuah pesawat jatuh berdekatan Ladang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Sungkai. Pesawat jenis Cessna 172 itu dikenal pasti dari Layang Layang Flying Academy, Ipoh.

“Kedua-dua mangsa ditemukan di mana jurulatih penerbangan lelaki mengalami patah paha kiri, manakala seorang pelatih wanita cedera di bahagian muka.

“Kerja pemindahan mangsa ke jalan besar dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri juga mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ya, pesawat latihan, penumpang terbabit selamat,” katanya.