Pengeluar kereta China, Geely akan melabur USD10 bilion (RM45 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim di Perak, sebagai bandar automobil terbesar di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aspirasi yang disampaikan syarikat itu menerusi surat kepada beliau malam tadi, akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, petik satu laporan daripada Bernama.

Baca Juga:

“Saya menyebut perkara ini buat kali pertama. Geely, yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton, telah menulis surat 10 muka surat untuk memaklumkan saya bahawa ia mahu terus menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar automobil terbesar di rantau ini.

“Ia akan bermula dengan pelaburan USD10 bilion (RM45 bilion),” katanya dalam ucapan pada program Sentuhan Agro Madani peringkat negeri Selangor baru-baru ini.

“Semua ini bukan untuk mendapatkan komisen atau hadiah, tetapi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kita dan beribu-ribu anak muda kita akan mendapat pekerjaan,” tambahnya lagi.

Pengumuman itu menyaksikan saham DRB-Hicom Bhd ditutup 3.6% sehingga RM1.44, tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu pada 1 April, DRB-Hicom menandatangani perjanjian dengan Geely di Beijing berhubung pembangunan hab industri automotif di Tanjung Malim.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber