Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan Kaedah ‘co-teaching‘ atau pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Kaedah tersebut bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar, petik Berita Harian.

Menurut beliau, kaedah tersebut bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan.

Ini kerana ia dapat memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.

Kaedah ‘co-teaching‘ itu turut menekankan pembelajaran bersepadu, iaitu gabungan beberapa subjek dalam satu sesi, contohnya subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Muzik diajar serentak.

“Dalam kaedah ‘co-teaching’, dua guru bekerjasama dalam satu kelas, ia bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar setara yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar.

“Kita yakin kaedah ‘co-teaching’ membabitkan interaksi aktif dalam kelas ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus dapat mengatasi masalah keciciran pembelajaran.

“Selain itu, berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini nanti juga menuntut semua guru sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain mengintegrasikan nilai dan karakter dalam pengajaran masing-masing,” katanya kepada BH dalam pertemuan di pejabatnya, hari ini.

Jelas beliau, KPM yakin kaedah baharu itu boleh dilaksanakan berdasarkan kejayaannya di negara lain.

“Melalui sistem ini, anak-anak kita akan mendapat banyak kelebihan, khususnya sistem pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

“Zaman ini, anak kita lebih dekat dengan gajet, jadi kita memerlukan satu pendekatan yang lebih segar dan menarik untuk mereka fokus pada pembelajaran di sekolah.

“Ia boleh dilakukan sama ada dua guru berada dalam satu kelas atau dengan menggabungkan dua kelas untuk sesi pembelajaran sama,” katanya.

Sumber