Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan pihak kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember, sempena sambutan perayaan Krismas.
Diskaun melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1, termasuk Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, di semua plaza tol di seluruh negara, petik Buletin TV3.
Namun Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) dikecualikan diskaun tol tersebut.
Kerajaan menganggarkan RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
“Pemilihan tarikh ini adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan.