Sejak tercetus perang besar Israel-Palestin pada tahun 2023 lalu, lanskap sambutan rangkaian makanan dunia berubah sama sekali.
Majoriti memilih untuk memboikot produk-produk jenama yang berkait dengan negara Israel dan fokus menyokong jenama tempatan sendiri.
Gerakan boikot itu berkembang kuat di Malaysia sendiri, banyak jenama tempatan tumbuh bak cendawan, alternatif buat jenama produk boikot.
Baru-baru ini media antarabangsa berita perniagaan terkenal, Bloomberg telah mengetengahkan kisah dua jenama Malaysia, Ahmad’s Fried Chicken dan ZUS Coffee.
The Israel-Hamas war rewrote the Muslim world’s fast-food loyalties. Just look at Malaysia https://t.co/OngbdEdXXE
— Bloomberg (@business) December 11, 2025
Menurut laporan Bloomberg, ketika ini kedua-dua jenama tersebut berjaya meningkatkan jumlah cawangan masing-masing dengan cemerlang.
“Ahmad’s Fried Chicken jenama yang diasaskan oleh Lailatul Sarahjana bersama suaminya, Mohd Taufik Khairuddin, yang bermula daripada sebuah trak makanan — kini telah berkembang kepada 35 cawangan. Menjelang akhir tahun 2026, jumlah tersebut dijangka meningkat kepada kira-kira 110 cawangan.
“Rangkaian kafe tempatan Zuspresso Sdn. yang pada tahun 2023 mempunyai bilangan cawangan lebih sedikit berbanding Starbucks di Malaysia, telah menggandakan jumlah kedainya pada tahun lalu ketika rangkaian Starbucks mengalami pengurangan. Kini, rangkaian yang dikenali sebagai ZUS Coffee muncul sebagai penyedia kopi terbesar di Malaysia dengan lebih 700 cawangan, menawarkan minuman seperti pumpkin spice latte serta pelbagai ramuan berinspirasikan cita rasa tempatan seperti kelapa dan gula Melaka,” petik Bloomberg.
Sementara itu, Adib Zalkapli, pengasas Viewfinder Global Affairs, sebuah firma perunding geopolitik yang menjejak trend di seluruh Asia Tenggara berkata perubahan ini bersifat kekal.
Menurutnya, faktor politik, atau lebih khusus peristiwa di Palestin, sememangnya menjadi pemacu utama yang mendorong pengguna beralih kepada jenama alternatif.
“Isu Palestin merupakan isu dasar luar negara yang paling penting dalam politik Malaysia,” kata beliau.
Artikel yang disiarkan oleh Bloomberg telah mendapat perhatian pembaca di seluruh dunia.
Ramai yang memberi pujian kepada Malaysia kerana dapat membangunkan jenama tempatan sendiri sebagai alternatif produk boikot.
Ia disamakan dengan gerakan protes di beberapa negara Eropah, di mana restoran dan kedai Amerika turut menjadi sasaran demonstrasi bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Generasi muda antarabangsa juga dilihat memberi perhatian, dengan ramai menegaskan bahawa mereka enggan menyokong jenama yang dikaitkan dengan konflik atau peperangan.