Penyanyi Tam Spider berharap isu melibatkan penggunaan nama kumpulan Spider tidak berakhir dengan situasi dua versi kumpulan menggunakan identiti hampir sama kerana ia dikhuatiri mengelirukan ramai pihak, khususnya peminat.

Menurut Tam, dalam sesebuah kumpulan setiap anggota sememangnya mempunyai hak terhadap perjuangan, nama serta karya yang pernah dibina bersama sepanjang perjalanan seni mereka.

“Pada saya, itu hak masing-masing sebab dalam band semua ada hak terhadap nama dan lagu-lagu yang pernah diperjuangkan bersama,” katanya.

Bagaimanapun, Tam mengakui dia kurang bersetuju sekiranya muncul dua kumpulan membawa nama hampir sama kerana keadaan itu dilihat boleh menimbulkan kekeliruan.

Jelasnya, dia secara peribadi tidak menggalakkan perkara tersebut berlaku dan lebih senang jika mana-mana pihak tampil dengan identiti baharu berbanding menggunakan nama yang hampir sama.

“Tapi kalau sampai jadi dua Spider, secara peribadi saya tak galakkan sebab nanti nampak kelakar pula. Kalau nak buat benda lain, buatlah nama lain atau cipta identiti baharu, jadi saya lebih suka macam itu,” ujarnya kepada mStar.

Tam turut memberikan gambaran bagaimana situasi itu bukan sahaja boleh memeningkan penganjur acara, malah meletakkan peminat dalam keadaan sukar.

Menurutnya, jika muncul “Spider One” atau “Spider Two”, penganjur mungkin berdepan kekeliruan untuk memilih kumpulan mana yang mahu dijemput membuat persembahan.

“Kalau ada Spider One, Spider Two, organizer pun boleh pening nak panggil yang mana satu. Yang kesian sebenarnya peminat sebab mereka jadi serba salah nak sokong siapa. Kedua-dua mereka suka,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Tam dilihat mengambil pendekatan lebih terbuka dengan mengakui setiap pihak mempunyai hak masing-masing, namun berharap penyelesaian terbaik dapat dicapai tanpa menjejaskan identiti asal dan hubungan dengan peminat.