Dua pasukan Liga Super berpotensi dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas terlibat dalam isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import masing-masing.
Pasukan yang terlibat ialah Terengganu FC dan KL City yang turut bertanding dalam saingan Piala Shopee musim ini.
Baca Juga:
- Jumlah Mata Ranking FIFA Malaysia Selepas Juara Pestabola Merdeka
- Panjang Akal Penyokong Korea Selatan Buat Solidariti Buat Palestin Yang Lulus SOP FIFA
- Tunku Ismail: Nak Sertai Kalau Diiktiraf FIFA
Menurut laporan Arena Metro, Terengganu FC masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import dari Thailand, Adisak Kraison yang dikatakan tidak menerima baki gaji yang tertunggak berjumlah lebih enam angka.
Perkembangan tersebut turut didedahkan oleh peguam sukan yang mewakili Adisak, Syed Nur Aiman.
FIFA memberi tempoh selama 45 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 4 September untuk menyelesaikan sepenuhnya tunggakan itu.
“Berdasarkan regulasi, FIFA memberi tempoh selama sebulan lebih untuk Terengganu FC selesaikan baki tunggakan termasuk kos lain.
“Jadi kami masih menunggu respon daripada pihak kelab. Sehingga kini kelab masih berdiam diri dan tiada sebarang perkembangan,” katanya kepada Arena Metro.
Selain Terengganu, Kuala Lumpur City (KL City) turut berpotensi dikenakan perpindahan FIFA jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji bekas awang importnya, Sebastian Avanzini.
Mereka perlu menyelesaikannya dalam tempoh 45 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 20 September lalu.
Malaysia sememangnya cukup terkenal dengan isu tunggakan gaji dan beberapa pasukan Liga Super pernah dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA sebelum ini antaranya TRW Kelantan, Perak dan Sarawak United.
Namun, sekatan perpindahan Kelantan dan Perak ditarik balik selepas mereka berjaya menyelesai masalah tunggakan gaji membabitkan bekas pemain masing-masing.