Dua pelajar Malaysia telah diterima masuk ke Kolej Harvard, institut pengajian sarjana muda Universiti Harvard yang berprestij, untuk tahun akademik baharu yang akan tamat pengajian pada 2029.

Athena Siow dari Kuala Lumpur dan Namira Lee Tzu dari Kuala Terengganu ialah penerima biasiswa Yayasan UEM dan akan mengambil jurusan Kerajaan (Data Science Track), manakala Namira ialah penerima biasiswa PNB Global memilih jurusan Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar.

Menurut Wan Nadiah, Presiden Kelab Harvard Malaysia, semakin ramai pelajar dari sekolah kerajaan dan luar Lembah Klang berjaya ke kolej itu, menunjukkan bakat luar biasa dari pelbagai latar belakang.

“Harvard College, yang mempunyai salah satu kadar kemasukan sarjana muda terendah di dunia, terus mencari pelajar berbakat dari seluruh dunia yang menunjukkan komitmen untuk menggunakan sumber yang ada demi menyumbang kepada dunia yang lebih baik. Kami amat berbangga kerana pelajar yang diterima dari Malaysia masih kebanyakannya dari sekolah kerajaan dan semakin ramai daripada latar belakang berpendapatan sederhana di luar Lembah Klang.

“Melalui biasiswa, mereka diberikan peluang untuk belajar di antara universiti terbaik dunia, termasuk Harvard, dan sebagai sebuah negara, kita akan mendapat manfaat daripada sumbangan mereka pada masa hadapan,” kata Wan Nadiah.

Penuhi kriteria tertentu sebelum dapat ke Kolej Harvard

Harvard
Kolej Harvard di Cambridge, Massachusetts

Athena sebelum ini aktif dalam isu alam sekitar dan pernah mewakili Malaysia di COP 2023 di Dubai. Beliau juga melatih ribuan pelajar melalui program Pandu Puteri, memberi latihan catur percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, dan menjadi sukarelawan mengajar pelajar pelarian.

Namira pula memulakan projek pemuliharaan penyu bersama WWF dan memperluaskannya ke sekolah luar bandar. Beliau juga menyertai program kepimpinan di Amerika Syarikat dan membantu pelajar luar bandar melanjutkan pelajaran melalui Inisiatif BASE.

Kerana terlibat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar, ia menjadi faktor kepada pemilihannya menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara tajaan Amerika Syarikat yang diadakan di Illinois dan Washington DC.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Athena dan Namira atas tawaran kemasukan mereka ke Harvard College. Pencapaian mereka sudah cukup membuktikan kebolehan mereka, tetapi lebih penting lagi, kami berharap mereka akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengejar kecemerlangan dan memberi impak kepada komuniti mereka, tidak kira sebesar atau sekecil mana pun,” kata Nick Khaw, Ketua Penyelidikan dan Ketua Bersama, Pasaran Swasta di Khazanah Nasional.

Universiti Harvard, institut pendidikan tinggi tertua di AS, secara meluas dianggap antara universiti terbaik di dunia dan menduduki tempat keempat dalam QS World University Rankings 2024.

Sumber