Dua pemain Indonesia diberi amaran keras oleh pengendali skuad kebangsaan itu, Shin Tae-yong selepas ‘kantoi’ makan mi segera ketika kem latihan pusat yang dijalankan baru-baru ini.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah Witan Sulaeman dan Marselino Ferdinan dimana salah seorang pemain iaitu Marselino memuat naik video di Instagram yang menunjukkan rakan sepasukannya memasak mi segera menggunakan kuali elektrik di dalam bilik penginapan.

Baca Juga:

Indonesia
Sumber Gambar: Marselino Ferdinan

Tindakan dua pemain ini terus mendapat kritikan dari peminat bola sepak Indonesia dimana ada dikalangan mereka yang menganggap Witan dan Marselino tidak menjaga keadaan fizikal memandangkan temasya Piala Asia 2023 akan segera membuka tirai.

Staf kejurulatihan pantas mengambil tindakan dimana penolong jurulatih skuad Garuda, Nova Arianto mengesahkan pemain pasukan kebangsaan Indonesia yang terpalit dengan isu berkenaan sudah menerima amaran daripada Shin Tae-yong.

Memetik laporan dari Tempo, Nova menegaskan kedua-dua pemain tidak akan menerima hukuman namun mereka diberi amaran supaya tidak melakukan perkara yang sama lagi pada masa akan datang.

Penolong jurulatih itu juga menambah bahawa Tae-yong turut mengingatkan pemain lain supaya menjaga keadaan dan tidak mensia-siakan kerja keras yang dilakukan selama ini.

“Bukan hanya pemain yang terlibat, tetapi untuk semua pemain dimana mereka diingatkan agar menjaga tahap kecergasan kerana kami telah bekerja keras selama di Turki.

“Jangan sampai ada yang terjejas kerana fizikal tidak berada dalam keadaan yang baik oleh kerana apa yang kita makan,” kata Nova.

Indonesia menjalani kem latihan pusat di Turki sebagai persediaan untuk beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 Qatar yang akan bermula pada 12 Januari nanti.

Skuad Garuda diundi dalam kumpulan D bersama Jepun, Vietnam da Iraq.