Dua lelaki warga Singapura dikenakan denda sebanyak SGD3.34 juta (~RM10.69 juta) setiap seorang selepas mengaku salah atas peranan mereka dalam dalang penyeludupan lebih 4.5 juta liter minyak diesel automotif dari Malaysia ke Singapura tanpa pengisytiharan sah.
Tindakan itu mengakibatkan pelanggaran undang-undang serius dengan mengelak pembayaran duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menurut Jabatan Kastam Singapura dalam satu kenyataan hari ini, petik CNA.
Chua E Hong, 51, dan Ng Leok Kwee, 48, masing-masing mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengelak duti secara tidak jujur di bawah Akta Kastam.
Pertuduhan tersebut melibatkan import sebanyak 4,527,099 liter minyak diesel automotif antara April dan Disember 2024, yang melibatkan pelarian duti dianggarkan bernilai S$905,419.
Selain itu, sebanyak 16 pertuduhan lain turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan ke atas kedua-dua tertuduh. Pertuduhan berkenaan merangkumi enam kes elak duti dan 10 kes elak GST, dengan jumlah keseluruhan duti dan cukai yang dielakkan dianggarkan bernilai SGD2.5 juta (~RM7.99 juta).
Ketika kesalahan itu dilakukan, Chua merupakan Pengarah Urusan manakala Ng berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif bagi syarikat CNC Petroleum dan PS Energy — dua syarikat bersaudara di bawah kumpulan PS Energy Group yang menjalankan perniagaan pengagihan bahan api peringkat akhir di Singapura. Chua bertanggungjawab menguruskan fungsi kewangan dan jualan, manakala Ng mengendalikan operasi harian.
Siasatan mendapati bahawa kedua-dua lelaki berkenaan mula merancang taktik tersebut pada awal tahun 2024 bagi mendapatkan bekalan diesel yang lebih murah dari Malaysia. Bahan api itu dibawa masuk ke Singapura tanpa sebarang pengisytiharan atau permit import yang sah sebelum dijual semula kepada pelanggan tempatan demi mengaut keuntungan berlipat ganda buat CNC.
Modus operandi mereka terbongkar selepas Jabatan Kastam Singapura menerima maklumat risikan dan menjalankan siasatan terperinci.
Berdasarkan maklumat siasatan, bekalan diesel tersebut dibeli daripada terminal pembekal di Pengerang, Johor, sebelum diangkut menggunakan sebuah kapal ke perairan Singapura.
Setiba di Sauh Petroleum Selat Pauh, diesel berkenaan dipindahkan ke dua buah kapal yang lebih kecil secara berperingkat, sebelum dibawa ke Terminal Penjuru untuk dipindahkan pula ke lori tangki bagi edaran pasaran tempatan.
Ng bertindak merancang jadual pergerakan kapal, lori tangki serta koordinasi pemindahan bahan api berkenaan.
Kastam Singapura menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan kompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan hasil negara.
“Kastam Singapura kekal komited untuk memastikan pematuhan ketat terhadap undang-undang kastam serta melindungi hasil pendapatan negara,” kata jurucakap Jabatan Kastam Singapura.
Di bawah Akta Kastam Singapura, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan mengelak duti atau GST secara tidak jujur boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda jumlah nilai yang dielakkan, atau hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.