Ducati Malaysia secara rasmi telah melancarkan tiga varian Scrambler generasi baharu untuk pasaran Malaysia yang ditawarkan pada harga bermula RM62,900.

Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael, model Scrambler yang ditawarkan ini menjadi rangkaian model penting tahun lalu, di mana model berkenaan menyumbang lebih daripada 30 peratus daripada jumlah jualan jenama Ducati di Malaysia.

“Setakat ini, kami telah menerima hampir 50 tempahan bagi Scrambler generasi terbaru ini, sekaligus membuktikan keterujaan rakyat Malaysia. Mengambil kira Scrambler baru ini dilengkapi pelbagai teknologi, kami percaya harga ini akan menarik minat generasi muda. Scrambler generasi terbaru ini akan memacu kami dalam mencapai sasaran pegangan saham 7% bagi segmen motosikal berkapasiti tinggi di Malaysia,” jelas Dennis.

Menurut Ducati Malaysia, Scrambler juga diperbaharui dalam kandungan teknikalnya dan berat kurang empat kilogram berbanding model sebelum ini, sekali gus menjadikan motosikal ini lebih mudah dikendalikan dan ditunggang.

Scramber generasi terbaru ini dilengkapi dengan kerangka tiub trellis yang dipadankan bersama kerangka belakang jenis terkunci bagi membolehkan pemilik atau pakar kustom melakukan pengubahsuaian radikal. Bahagian tangki dengan gaya ‘teardrop’ pula menawarkan kapasiti 13.5L.

Varian Icon dan Full-Throttle dipadankan dengan rim aluminium 14-bilah manakala Nighshift pula hadir dengan rim lidi (spoked). Kesemuanya didatangkan dengan tayar Pirelli MT60 RS.

Bagi memastikan prestasi membrek kekal optimum, kesemua varian datang dengan cakera brek berkembar 330mm di bahagian depan berserta kaliper brek Brembo 4-piston. Di belakang pula menawarkan cakera brek 245mm dengan kaliper 1-piston.

Scrambler Ducati baharu juga didatangkan dengan kawalan traksi Ducati dan dua mod tunggangan iaitu Sport dan Road.

Scrambler Icon dijual pada harga bermula RM62,900, manakala Scrambler Nightshift dan Scrambler Full Throttle, masing-masing ditawarkan pada harga daripada RM69,900.

Ikuti laman rasmi Ducati Malaysia di Facebook atau Instagram untuk info lanjut. Sekiranya anda berminat untuk tampil bergaya dan melihat motosikal ini dengan lebih dekat, boleh terus ke pengedar rasmi Ducati Malaysia berdekatan anda.