Wang simpanan KWSP merupakan satu sekuriti kewangan buat setiap individu yang mahu bersara di kemudian hari. Namun, sudah selalu kita kedengaran kisah segelintir individu yang kehilangan ratusan ribu ringgit duit simpanan KWSP dek kerana terjerat dengan penipuan di internet.

Terbaharu, seorang lelaki yang juga bergelar duda dilaporkan telah kehilangan keseluruhan wang simpanan KWSP yang dicarum selepas bertahun-tahun dek kerana terlalu mempercayai teman wanitanya.

Sumber Gambar: The Guardian

Difahamkan lelaki terbabit, telah bercerai bersama pasangannya dan bergelar duda sejak sekian lama.  Kemudian bertemu dengan teman wanita baharu yang disangka bakal jadi suri hatinya yang baharu.

Selepas suai kenal, dia telah termakan dengan pujukan wanita itu untuk mengeluarkan kesemua wang simpanan KWSP dan masukkan ke dalam akaun peribadinya atas alasan mahu tolong menguruskan wang selepas kahwin nanti.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Walaupun tidak diberi tahu jumlah sebenar, ia cukup membuatkan lelaki ini mengalami kemurungan selepas hasil titik peluhnya selama puluhan tahun bekerja lenyap begitu sahaja.

Tidak hanya mengambil wang lelaki malang itu, malah wanita durjana ini turut menghilangkan diri selepas kejadian itu kongsi seorang pengamal perubatan Islam bernama Hasnan Rili di laman Facebooknya.

“Kerja berpuluh-puluh tahun tapi dalam masa sehari duit simpanan KWSP habis lesap angkara percaya teman wanita.

“Duit sebanyak-banyaknya teman wanita suruh masukkan semua dalam akaun dia kononnya mahu menjaga simpanan lepas kahwin nanti. Lama menduda, lepas bercinta habis semua harta dibagi.

“Sekarang kena tipu perempuan tu lari, tak dapat dikesan. Habis duit KWSP lepas kena kapur,” kongsi Hasnan.

Paling terkini, duda tersebut mengalami tekanan perasaan sehingga perlu bertemu pakar psikiatrik pada setiap bulan dan terpaksa makan ubat penenang kerana terlalu memikirkan nasib di kemudian hari kerana tidak mempunyai sebarang wang simpanan lagi.

Sumber Gambar: FB Hasnan Rili

Hasnan lalu menasihati orang ramai untuk berjaga-jaga dengan kes love scam yang semakin melarat di dalam masyarakat. Malah, laporan terdahulu melaporkan warga emas antara paling ramai menjadi mangsa love scam dan pelaburan yang tidak wujud.