Suasana pilu menyelubungi tebing sungai berhampiran Jalan Ipoh apabila bunyi deruan enjin jengkaut memusnahkan deretan rumah papan yang menjadi tempat berteduh selama puluhan tahun.

Bagi warga emas, Ali Ahmad, 83, setiap robohan dinding kayu itu membawa pergi separuh daripada lipatan sejarah hidupnya.

Beliau yang berasal dari Perak telah menetap di penempatan setinggan berkenaan sejak 46 tahun lalu, membanting tulang mencari rezeki sebagai pemotong kayu balak bersama isteri demi menyara keluarga di ibu kota.

Melihat kediamannya diruntuhkan, Ali tidak dapat menyembunyikan rasa sedih yang terbuku di hati.

“Saya penduduk di sini dah dekat 50 tahun. Saya orang Malaysia dan ada MyKad, bukan warga asing. Dulu ramai orang Indonesia di sini, kita hidup saling menghormati,” luahnya dengan nada sebak lapor Harian Metro.

Dari Kedamaian Ke Keresahan Penduduk

Perkampungan yang dahulunya tenang dan dihuni warga tempatan berbilang kaum seperti Melayu dan Cina kini bertukar suasana secara perlahan-lahan.

Kehadiran pelarian Rohingya dan warga Bangladesh sejak lebih satu dekad lalu mula mencetuskan pelbagai masalah kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Masalah kecurian besi dan kabel semakin kerap berlaku sehingga mencetuskan aduan daripada tauke kedai berhampiran. Keadaan ini menyebabkan pihak berkuasa sering melakukan pemantauan dan serbuan.

“Bila sebenarnya Rohingya ini mula masuk saya tak pasti kerana saya kerja potong kayu balak di merata tempat dan jarang ada di rumah.

Tiba-tiba balik tengok ramai dah mereka di sini. Kes kecurian makin kerap sampai polis dan imigresen pernah ketuk pintu rumah saya jam 3 pagi sebab mereka inilah,” tambah Ali lagi.

Nostalgia Rumah Papan Dan Kenangan Arwah Ayah

Pengalaman sama turut dirasai oleh Nazira Salim, 24, yang dilahirkan dan dibesarkan di penempatan tersebut. Bagi Nazira, rumah papan itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi sebuah khazanah kenangan manis dan duka bersama arwah ayahnya.

Beliau menceritakan bahawa kehadiran awal keluarga Rohingya kira-kira 14 tahun lalu tidak menimbulkan sebarang masalah. Namun, keadaan bertukar sukar apabila bilangan mereka bertambah mendadak melalui individu yang bertindak seakan-akan ejen mencari rumah sewa untuk rakan senegara.

“Saya tinggal di sini sudah 24 tahun, sejak lahir duduk sini. Kita dah selesa dan banyak kenangan bersama arwah ayah yang meninggal dunia di rumah kami di sini, jadi sebab itu saya sukar untuk pindah.

Dulu tempat ini elok sahaja dan tak pernah kacau sesiapa. Kita hidup tenang sebelum datang kumpulan ini dan mula dengar macam-macam kes sehingga tular,” kata Nazira.

Babak Baharu Di Perumahan Awam

Meskipun berat untuk melepaskan tempat tinggal yang penuh memori, terdapat sinar baharu buat warga tempatan.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menguruskan perpindahan kesemua penduduk tempatan ke perumahan awam demi kesejahteraan mereka.

Operasi perobohan yang menggunakan sekurang-kurangnya tiga buah jengkaut itu dijalankan secara teratur dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, serta kawalan keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa mengesahkan seramai 37 pegawai dan anggota ditugaskan di lokasi bagi mengawal keselamatan dan memastikan operasi berjalan lancar.

Sementara warga asing dilaporkan telah berpindah lebih awal ke lokasi lain, sekumpulan penduduk tempatan tetap berkumpul buat kali terakhir.

Mereka menyaksikan runtuhnya sebuah penempatan lama yang pernah menjadi perlindungan, sebelum melangkah masuk ke fasa kehidupan baharu yang lebih teratur.