Dulu kita membesar dengan siri animasi Detective Conan, Doraemon dan Shin Chan yang pasti cukup menggamit memori.

Tetapi siapa sangka satu hari nanti Animasi dari Malaysia atau AniMY berjaya menembusi negara asal pembuatan animasi ikonik global iaitu Jepun dan menariknya generasi mereka pula membesar dengannya.

animasi
Sumber Gambar: FB Nizam Abd Razak

Animasi yang dimaksudkan adalah siri Mechamato hasil produksi Animonsta Studios yang berpengkalan di Cyberjaya yang bukan sahaja memenangi pelbagai anugerah termahsyur di negara matahari terbit itu malahan kini gen alpha di sana menunjukkan minat yang mendalam terhadap animasi tersebut.

Pengasas, Nizam Abd Razak berkongsi keterujaannya melihat sambutan yang cukup meriah sewaktu berlangsung fan meet di Osaka, Jepun bersempena Expo 2025  baru-baru ini.

animasi
Sumber Gambar: FB Nizam Abd Razak

Difahamkan peminat di Jepun terutamanya kanak-kanak sanggup beratur untuk mengambil gambar bersama karakter Mechamato yang juga menjadi duta untuk Pavilion Malaysia di Expo berkenaan.

“Siap ada yang print poster sendiri dan anak-anak kecil asyik sebut “Mechanize!,” ujarnya.

Dia seperti tidak menyangka animasinya memiliki peminat tegar di Jepun yang mana cukup sinonim dengan animasi-animasi yang hebat di peringkat global.

Susulan sokongan yang luar biasa, dia mengatakan dirinya lebih bersemangat untuk menghasilkan Mechamato Season 4 selepas ini.

Dalam masa sama, dia menjangkakan Gen Alpha yang membesar dengan siri Mechamato ini juga berpeluang untuk menonton Movie 2 yang dijangkakan bakal ditayangkan pada tahun depan, 2026.

Antara sebab mengapa siri Mechamato disambut baik oleh warga setempat adalah kerana sudah mengalih bahasa ke Jepun yang didapati lebih mudah beradaptasi dengan masyarakat pelbagai lapisan yang menontonnya di sana.