Dari bulan 10 sudah ternampak beberapa posting rakan-rakan di Facebook, mereka menikmati durian di tepi jalan bersama keluarga.
Terliur sahaja memerhatikan isi berwarna putih kuning yang pekat dan likat.
Gambar mata tertutup, riak gembira, sambil lidah menyambut isi durian yang hampir terjatuh hanya mengesahkan betapa sedapnya raja buah yang sedang mereka sedang tekuni.
Apabila sang suami menyatakan hasrat mahu menghadiri majlis kahwin rakan di Ipoh, terus sahaja saya menjawab, “Jom, boleh kita cari durian!”
Setelah bertahun-tahun berpuasa daripada menikmati kemanisan dan aroma durian, tahun ini selera terhadap buah berduri ini tidak terbendung lagi.
1. R&R Elmina arah utara
Perjalanan bermula dengan jayanya. Siapa sangka, ketika masih di dalam negeri Selangor, kami terjumpa apa yang dihajati di sebuah warung R&R.
Dijual pada harga RM15 sekilo, ianya adalah satu pembelian berbaloi. Buah besar, isi tebal, rasa nyaman sekali.
Saya hanya membeli sebiji durian di sini oleh kerana masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhi.
Menurut Kak Fuziah, pemilik kedai, saudaranya juga ada menjual di R&R Sungai Perak arah utara pada harga RM13 sekilo.
2. Singgah Yop! Restoran Pulut Durian
Peminat-peminat pulut dan cendol durian, bolehlah berhenti sebentar di Singgah Yop! Restoran Pulut Durian.
Selain makanan berasaskan durian, mereka juga menyajikan makanan berat seperti set nasi.
Terletak di Meru Raya, berhampiran Terminal Amanjaya, kedai ini juga ada menjual buah durian pada harga RM15 sekilo.
3. Musang King
Durian Musang King yang dibawa dari Raub, Pahang dan dijual di Cameron Highlands ini memang heaven.
Berwarna kuning pekat, rasa dan baunya sangat memikat hati.
Terletak di sebelah kiri bahu jalan, ketika dalam perjalanan dari Cameron Valley Tea House 2 ke Bandar Brinchang, ianya dijual pada harga RM30 sehingga RM50 sekilo.
4. Kea Farm, Cameron Highlands
Di Kea Farm, berhampiran hotel Copthorne, ada sebuah kedai yang menjual durian susu. Dalam gambar ini, hari hujan lebat, semua durian ditutup.
Pada bulan 9, ketika tiada musim, mereka menjual pada harga RM25/kilo.
Durian yang mereka jual sedap, cuma sayangnya kali ini, saya tidak berkesempatan untuk singgah.
Saya terjumpa van ini di pasar kecil berhampiran Kea Farms. Menurut beliau, beliau mengambil durian dari Simpang Pulai.
5. Di hadapan Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands
Gambar ini dikongsi oleh Hooi, pemilik homestay, tempat saya menginap. Menurut beliau, durian dijual pada harga RM15/kilo.
Tetapi ketika saya sampai, tiada stok durian dijumpai.
Ada yang berkata, durian ada dijual di tapak ini pada waktu malam.
Menurut Hooi lagi, tetamu-tetamu beliau melaporkan hasil tuaian terdapat banyak di jalan kampung dari Tapah ke Cameron.
6. R&R Simpang Pulai
Pada mulanya, kami merancang untuk balik melalui jalan kampung di sekitar Perak.
Kami dengar tentang banyaknya stok durian di jalan-jalan kampung. Tempoyak juga boleh didapati dengan murah.
Malangnya, hujan turun dengan lebat, lalu membantutkan perancangan kami.
Mahu tidak mahu, terpaksalah kami melalui lebuhraya. Mujurlah, durian ada dijual di R&R Simpang Pulai, sebagai bekalan untuk ahli keluarga.
7. Bidor dan Kampar
Rakan saya, Masnira Ramli berkongsi pengalaman beliau pada hujung bulan lalu.
Apabila membaca posting beliau, terasa macam mahu ke Perak lagi untuk memburu durian. Mencuba durian Bidor dan Kampar pula.
Batu Kurau pun terkenal dengan 1001 cerita durian.
Ada sesiapa yang pernah ke sana? Bolehlah berkongsi cerita ‘durian hunting’ anda di ruangan komen.