Durian, buah yang dikenali sebagai Raja Buah-Buahan oleh kebanyakan rakyat Malaysia, mendapat kritikan selepas sebuah video di platform Instagram mengenai buah tersebut tersebar luas.
Video tersebut menunjukkan durian dipamerkan di dalam Disgusting Food Museum di Malmö, Sweden.

Dalam klip berdurasi satu minit yang dikongsi oleh pencipta kandungan Karim Bukhadurov pada 12 April, beliau melawat Disgusting Food Museum, tempat di mana pengunjung boleh melihat dan mencuba makanan yang dianggap menjijikkan di beberapa negara di dunia.
Sebelum pengunjung dibenarkan memasuki premis, mereka dikehendaki mempunyai ‘tiket’ bersama mereka, iaitu sebuah beg muntah.
Mereka juga diberi kad bingo yang boleh dicoret setelah mencuba makanan ‘menjijikkan’ yang ditampilkan di dalam muzium.
Antara beberapa makanan yang dipamerkan termasuklah zakar lembu dari China, sup kelelawar buah dari Guam, marmut dari Peru, dan casu martzu dari Itali.
Selepas melihat semua makanan ‘menjijikkan’, pengunjung boleh menuju ke kaunter di mana mereka akan berpeluang mencuba beberapa makanan secara langsung.
Salah satu makanan yang diberikan kepada pengunjung adalah durian, di mana Bukhadurov menggambarkan buah tersebut memiliki bau seperti bawang tetapi berasa seperti mangga.
Beliau juga mencuba serangga yang berbau busuk tetapi mengakui bahawa rasanya tidak memuaskan.
Menerusi video terbabit, rakyat Malaysia tidak begitu gembira melihat durian dianggap sebagai makanan ‘menjijikkan’ dan menyuarakan pendapat mereka di bahagian komen.
Sementara itu, netizen dari negara lain juga mempersoalkan video tersebut kerana memaparkan hidangan Korea yang dianggap menjijikkan.
Sesetengah malah menuduh muzium tersebut menggalakkan xenophobia.
Walaupun begitu, terdapat juga beberapa pendapat bahawa muzium tersebut mempunyai tujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya makanan di seluruh dunia, walaupun melabel makanan tempatan sebagai ‘menjijikkan’, ia sebenarnya membantu untuk mendapatkan reaksi dari peminat makanan tempatan di Sweden.