XPDC Kita Peng Yu (KPY) tampil bersuara tentang lagu dan nama XPDC yang digunakan oleh kumpulan lain selain daripada anggota asal kumpulan itu.

Menurut Zuar, pada masa ini  sudah tiada XPDC yang asli. Namun yang ada adalah kumpulan yang dianggotai oleh bekas anggota XPDC. Misalnya, XPDC KPY yang dianggotai Zuar, Amy dan arwah Mael sebelum digantikan oleh Ary.

Manakala kumpulan XPDC Militia ada Izo yang menjadi anggota.

Zuar memberitahu Suara TV, pada ketika ini kumpulan yang menggunakan nama XPDC adalah atas kebenaran Life Records. Ini kerana asal XPDC adalah milik JS Kevin yang kemudian menjual hak jenama itu kepada syarikat rakaman Life Records.

Mereka menggunakan nama XPDC pada hari ini atas kebenaran pihak Life Records.

“Jika tidak diberikan kebenaran oleh Life Records, kami pun tidak boleh berbuat apa apa,” tegas bassist itu.

Eddy Badry Cuma Promoter Bukan Pengasas, XPDC KPY Minta Henti Tunggang Nama Arwah Mael

Ditanya tentang apa kaitan pengurus semasa sebuah lagi kumpulan – Real XPDC – Eddy Badry, yang sebelum ini mendakwa dia adalah pengasas XPDC dan Real XPDC bersama arwah Mael.

Eddy Badry cuma promoter dan bukannya pengasas

Zuar menegaskan Eddy Badry hanyalah promoter  untuk persembahan konsert mereka dan jelajah. Kerana pengasas XPDC adalah JS Kevin.

Eddy Badry: ‘Saya Yang Tubuhkan XPDC! Apa Lu Cerita?’

Menurut Zuar, Real XPDC yang ada sekarang pun bukan Real XPDC yang asli yang ditubuhkan oleh arwah Mael.

“Yang asli hanyalah pengurus [Real XPDC], dahulu dia pernah menjadi promoter untuk konsert XPDC, jelajah seperti jelajah Borneo,” tegas Zuar.

Zuar akui, mereka tiada hak untuk menghalang Real XPDC atau Eddy Badry daripada terus menggunakan nama XPDC atau membawakan lagu lagu mereka dalam persembahan mereka.

Ini kerana nama dan lagu XPDC adalah di bawah pemilikan Life Records, penerbit lagu dan komposer lagu.

Real XPDC /  Real X sudah tak ada, hentikan menunggang nama arwah Mael

Sementara itu, guitaris XPDC KPY, Jeff XPDC menegaskan bahawa dia terkilan dengan tindakan Eddy Badry yang menunggang nama sahabat baiknya, arwah Mael.

“Saya bersuara di media sosial bukan sebab nak ‘melayan’ atau mempersoalkan penggunaan nama XPDC, namun nak beritahu mereka yang tak tahu cerita sebenar.

“Saya terkilan apabila nama sahabat baik saya terus dipergunakan, sehinggakan lagu solo arwah pun mereka ambil seperti lagu dia yang punya.

“Jadi saya terpanggil untuk bersuara pertahankan sahabat yang sudah tiada, kerana arwah sudah tiada untuk bersuara,” tegas Jeff yang yakin jika arwah masih hidup, arwah Mael juga tidak suka apabila karyanya atau namanya ditunggang pihak lain demi kepentingan mereka.

Eddy Badry Cuma Promoter Bukan Pengasas, XPDC KPY Minta Henti Tunggang Nama Arwah Mael

“Siapa lagi nak bersuara, kalau bukan kawan arwah sendiri, sebab mereka dah tunggang nama arwah lebih lebih,” tambah Jeff.

Menurut Jeff, dia sudah lama bersama arwah Mael termasuk ketika penubuhan Real XPDC. Itupun mereka akur dengan hak cipta nama yang dimiliki Life Records, di mana syarikat itu tidak membenarkan mereka menggunakan nama XPDC.

“Sebab itu kami tukar nama jadi Real X. Ketika arwah kembali semula kepada XPDC, arwah sendiri cakap, itu bermakna Real XPDC atau Real X sudah tiada lagi.

“Yang Real X itu pun semua orang tahu ianya milik arwah Mael seorang. Jadi setelah arwah kembali semula ke pangkuan XPDC, bermakna Real X itu sudah tiada.

“Dan kenapa sekarang dia nak mendakwa dialah pengasas dialah yang membawa XPDC selama ini.

“Pasal nama atau lagu itu saya tidak mahu pertikaikan, cuma nak tanya, korang tak ada rasa malu ke?” soal Jeff sinis.

Seterusnya pihak XPDC KPY menegaskan mereka sekarang dalam fasa perbincangan dan mengumpul semua bukti sokongan berkenaan dengan isu lagu XPDC dan nama XPDC. Dan mereka akan jelaskannya dalam sidang media rasmi tidak lama lagi.