Gitaris XPDC, Izo tampil bersuara bahawa mereka adalah XPDC yang sebenar dan satu satunya XPDC, tiada XPDC kedua atau ketiga.
Isu penggunaan nama XPDC terus hangat diperkatakan. Izo berkata, hanya mereka yang menandatangani kontrak dengan Life Records dan yang lain pula berada di bawah naungan syarikat lain.
Dipetik daripada Utusan Malaysia, Izo berkata: “Dan semua kami di sini sudah menandatangani kontrak dengan Life Records dan Hup Hup atas nama XPDC bukannya nama lain ABC dan sebagainya.
“Logo yang kami pakai pun logo tulen, tiada XPDC itu, XPDC ini, XPDC kopi [copy], teh o ke. Kami sudah tandatangan dengan Life Records, jadi faham fahamlah.
“Apabila syarikat itu sendiri yang menjadi tuan XPDC, tawarkan kami kontrak untuk ditandatangani, kau rasa, yang lain itu ada tandatangan kontrak?
“Kami tandatangan sendiri kontrak dengan tuan Life Records, dan syarikat ini yang keluarkan sendiri modal untuk proses rakaman lagu, dan promosi setelah lagu itu siap nanti.

“Promosi itu bukan sekadar di Malaysia, malah turut pergi ke Indonesia. Dan itu perancangan Life Records untuk XPDC. Itu menelan modal yang besar.”
Izo juga mempersoalkan, mana mungkin ada syarikat yang dengan sewenang wenang memberikan kebenaran kepada pihak lain menggunakan jenama mereka untuk mendapatkan keuntungan setelah melabur banyak.
“Ada ke pihak yang berniaga dengan sewenang wenang membenarkan mana mana pihak lain menggunakan sahaja nama kedai mereka. Ada ke orang yang nak berniaga seperti itu?
Menurut Izo hanya XPDC yang di bawah pimpinannya adalah XPDC sebenar dan berada di bawah syarikat Life Records.
“Kamu dengan syarikat lain, kamu nak ‘claim’ apa benda?” – tegas Izo.