Syarikat rakaman Life Records Malaysia hari ini tampil mengingatkan semua pihak bahawa XPDC adalah milik mereka sepenuhnya dan mengeluarkan senarai 8 individu, sebagai anggota asal XPDC yang sah.

Ini selepas sering kali berlaku perbalahan di kalangan beberapa individu dan juga perang mulut di antara peminat tentang siapa yang paling layak menggunakan nama XPDC.

Sebelum ini juga terdapat individu yang mendakwa dirinya sebagai pengasas atau bapa XPDC. Lalu individu tersebut telah berkali-kali untut nama XPDC sebagai miliknya.

Oleh sebab itu peminat kerap mendesak Life Records mengeluarkan kenyataan rasmi tentang siapa yang paling berhak ke atas XPDC. Dan benarkah ada individu lain yang berhak ke atas hak cipta XPDC?

Menurut kenyataan daripada Zuar sebelum ini mendedahkan bahawa XPDC adalah kumpulan yang ditubuhkan oleh JS Kevin.

Eddy Badry Cuma Promoter Bukan Pengasas, XPDC KPY Minta Henti Tunggang Nama Arwah Mael

Kemudian arwah JS Kevin telah menjual jenama XPDC kepada Life Records Malaysia Malaysia.

Setelah sejarah yang panjang kumpulan tersebut, anggota asal dan juga bekas anggota XPDC telah berpecah. Dan kemudian muncul pula pihak ketiga yang menggunakan nama Real XPDC, dengan mendakwa mereka paling berhak dengan nama XPDC kerana ada individu yang menjadi pengasas kepada band itu menubuhkan band tersebut.

Baru baru ini Jeff tampil menyatakan bahawa, Real XPDC sepatutnya sudah lama berkubur apabila arwah Mael kembali semula ke pangkuan XPDC. Malah arwah Mael sendiri menghormati hak jenama XPDC itu sendiri apabila arwah menggelarkan kumpulannya dengan nama Real X kerana Life Records adalah pemilik nama XPDC.

xpdc

Selepas Mael meninggal dunia, peminat semakin kecewa dengan tindakan kumpulan Real XPDC terutama sekali pengurusnyaz yang dianggap menunggang nama arwah dan terus menerus menggunakan lagu lagu XPDC seperti lagu mereka yang punya.

Mereka membawa lagu lagu XPDC dalam persembahan persembahan mereka serta lagu arwah Mael sendiri.

Life Records iktiraf hanya 8 anggota asal XPDC

Life Records hari ini tampil dengan kenyataan bahawa XPDC ada 8 anggota asal. Di mana kesemua 8 anggota tersebut mereka yang pernah menganggotai XPDC secara sah sebelum ini di bawah label Life Records.

Life Records dalam kenyataan media 9 Julai 2025 berkata: “Kenyataan Rasmi Mengenai Ahli XPDC dan Pemilikan Cap Dagangan (Trademark Ownership)

“Life Records (Hup Hup Sdn. Bhd.) dengan ini mengesahkan bahawa kami hanya mengiktiraf lapan (8) individu berikut sebagai ahli asal dan rasmi kumpulan XPDC sejak penubuhan kumpulan ini dan pelancaran album sulung mereka.

“Setiap individu berikut ini telah menandatangani perjanjian artis rasmi dengan Life Records:

Syed Ismail Bin Syed Ibrahim (Mael)

Mohd Zulkifly Bin Nik Hussin (Izo)

Azuzar Bin Md. Tasi (Zuar)

Rosly Bin Abdul Samat (Lee Space)

Mohd Ali Bin Bakar (Amy)

Mohd Ali Bin Hussin (Ali)

Saiful Rizta Bin Kamarudin (Lola)

Amran Bin Marsiman (Yan)”

Berkenaan dengan isu cap dagang serta, hak cipta dan harta intelek lain di bawah nama XPDC, Life Records memberikan amaran bahawa mana mana individu yang menggunakannya tanpa kebenaran akan berdepan dengan tindakan perundangan daripada mereka.

Life Records menambah: “Selain itu, kami ingin menegaskan bahawa logo XPDC adalah cap dagangan berdaftar (Trademark Ownership) yang dimiliki secara eksklusif oleh Life Records.

Xpdc

“Sebarang penggunaan logo, nama XPDC atau sebarang bentuk terbitannya—termasuk tetapi tidak terhad kepada pengeluaran semula barangan (merchandise), pakaian, bahan promosi bercetak atau digital, serta kandungan dalam talian—mestilah mendapat kebenaran bertulis dan lesen daripada Life Records.

“Penggunaan tanpa kebenaran atau penyalahgunaan jenama XPDC merupakan satu pelanggaran hak harta intelek dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami menghargai perhatian, kerjasama dan sokongan berterusan anda.

XPDC Milik Life Records, Ini 8 Anggota Asal Yang Sah, Tindakan Perundangan Menanti Pihak Yang Plagiat