Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) tampil membalas semula dakwaan pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang menjadikan bola Puma sebagai alasan kekalahan pasukannya kepada Newcastle United pada aksi separuh akhir pertama Piala Carabao tempoh hari.
Melakukan 23 percubaan sepanjang perlawanan, Arsenal masih gagal untuk menjaringkan gol dimana mereka kecundang 0-2 pada aksi di Emirates Stadium itu.
Baca Juga:
- Mikel Arteta Salahkan Bola Arsenal Kalah Di Tangan Newcastle
- Peminat Terkesima, TVS Umum Siar Piala Carabao
- VIDEO: Kane Enggan Julang Piala Di Stadium Bekas Kelabnya
Keadaan tersebut menjurus kepada kritikan Arteta terhadap bola yang digunakan dalam pertandingan tersebut.
Arteta mendakwa bola Puma yang digunakan begitu melambung tinggi dan ia cukup berbeza dengan penggunaan bola Nike dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Walaupun begitu, Newcastle masih mampu menjaringkan gol menerusi Alexander Isak dan Anthony Gordon.
Sehubungan dengan itu, EFL selaku penganjur pertandingan bersuara dengan membidas kenyataan pengendali dari Sepanyol itu.
“Seperti yang diperlukan dalam permainan profesional, bola PUMA yang digunakan dalam Piala Carabao musim ini dan dalam pertandingan EFL sejak 2021-22 diuji mengikut Program Kualiti FIFA untuk Bola Sepak dan memenuhi piawaian Kualiti Pro FIFA.”
“Selain daripada Piala Carabao, bola yang sama telah digunakan dengan jayanya dalam liga utama Eropah yang lain termasuk Serie A dan LaLiga serta tiga divisyen kami dalam EFL.”
“Semua kelab bermain dengan bola yang sama dan kami tidak menerima sebarang komen lanjut mengenai perkara ini selepas mana-mana daripada 88 perlawanan terdahulu yang telah berlangsung dalam Piala Carabao musim ini,” ujar EFL menurut sumber laporan ESPN.