Suatu ketika dahulu, air mata masyarakat Malaysia begitu mudah tumpah melihat penderitaan etnik Rohingya yang ditindas di tanah air mereka.
Atas dasar kemanusiaan dan ukhuwah sesama Islam, kantung derma sentiasa terbuka luas, malah agensi antarabangsa seperti UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) menerima sokongan padu daripada poket rakyat tempatan.
Bagaimanapun, landskap tersebut kini telah berubah 180 darjah apabila gelombang simpati bertukar menjadi skeptikal, sekali gus mendorong ramai penderma tempatan mengambil langkah drastik untuk ‘menarik handbrake’ daripada terus menyumbang kepada organisasi berkenaan.
Niat yang ikhlas pada mulanya atas sentimen kemanusiaan akhirnya berubah selepas semakin banyak isu yang berkait dengan warga Rohingya di negara ini.
Faktor utama peralihan drastik ini berpunca daripada lambakan koloni pelarian di kawasan strategik seperti Pasar Borong Selayang, yang akhirnya mencetuskan masalah sosial, isu kebersihan, serta ancaman keselamatan akibat pemanduan tanpa lesen.
Situasi ini menjadi lebih tegang apabila Kad UNHCR sering disalah guna sebagai ‘tiket imuniti’ untuk mencabar penguatkuasa tempatan, seperti yang kerap tular di media sosial.
Sikap sedemikian, ditambah pula dengan tuntutan melampau melibatkan hak pendidikan dan kesihatan percuma setaraf warganegara, akhirnya mencetuskan sentimen ‘diberi betis hendak paha’.
Kesannya, rakyat tempatan berasa budi bicara mereka telah dimanipulasi lalu mengambil keputusan untuk berhenti menderma demi mempertahankan undang-undang dan hak anak watan sendiri.

Rentetan daripada isu yang semakin meruncing ini, sejumlah besar warga tempatan mula berkongsi bukti pembatalan sumbangan bulanan yang selama ini dipotong secara automatik daripada akaun mereka.

Rata-rata netizen meluahkan rasa tawar hati dan menganggap sumbangan tersebut tidak lagi berbaloi demi keselamatan jangka panjang negara.
Sebagai ganti, sebahagian besar individu turut menyarankan agar dana sumbangan tersebut dialihkan kepada badan kebajikan tempatan yang lebih memerlukan dan telus, seperti MAKNA untuk membantu pesakit kanser dalam kalangan warga tempatan, ataupun menyokong Zoo Negara demi kelangsungan haiwan-haiwan di sana.