Baru-baru ini, PMX telah mengumumkan bahawa syarikat Infineon bakal menambah pelaburan berjumlah RM25 bilion di Kedah. Namun, ada pihak tertentu yang mempersoalkan siapa sebenar yang patut mendapatkan kredit daripada pelaburan tersebut.

Jadi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil memberikan penjelasan berhubung isu ramai yang claim kredit mengenai pelaburan tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sumber Gambar: Berita Harian

Menerusi video yang dikongsikan di Twitter, beliau menjelaskan bahawa semua telah mengetahui bahawa syarikat Infineon bakal membuat pelaburan bernilai RM25 bilion di Malaysia.

Namun begitu, beliau berkata pelaburan tersebut bukanlah pelaburan yang diumumkan pada tahun lalu, sebaliknya ia adalah pelaburan tambahan.

“Infineon bakal membuat pelaburan tambahan RM25 bilion di Malaysia untuk bina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar di dunia,” katanya.

Tambahnya lagi, syarikat berkenaan telah bertapak dalam negara lebih lima dekad yang lalu (di Melaka 1973 manakala Kedah 2005).

Bagaimanapun, pelaburan syarikat itu memerlukan insentif terlebih dahulu daripada pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MITI sebelum diumumkan.

“Sebelum pelaburan ini masuk, Infineon akan approach MIDA dan MITI. Mengapa? Sebab nak minta insentif.

“Tahun lepas, Infineon nak labur RM8 bilion, MITI dah bagi insentif. Tahun ini Infineon nak labur RM25 bilion,” ujarnya lagi.

Tengku Zafrul menyifatkan kestabilan politik antara penyumbang kepada syarikat luar untuk membuat pelaburan dalam negara.

Menerusi pelaburan ini, ia bakal membuka banyak peluang pekerjaan bagi rakyat di samping hasil pengeluaran syarikat akan dieksport ke luar negara sekali gus merancakkan lagi hasil pendapatan negara.

“Mengapa Infineon dan syarikat lain makin yakin nak melabur di Malaysia tahun ini? Antara sebabnya ialah kestabilan politik.

“Bila kerajaan asyik bertukar, pelabur kurang yakin nak masuk. Kenapa? Sebab bila kerajaan baru masuk, mungkin akan tukar dasar, jadi ini mungkin boleh beri impak negatif kepada pelaburan.

“Tetapi kerajaan sekarang ini kukuh, majoriti pun dua per tiga. Insya-ALLAH akan bertahan sehingga hujung tempoh,” katanya dalam klip berkenaan.

Hal ini terbukti apabila pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2023 adalah RM71.4 bilion. Angka tersebut naik sebanyak 60 peratus berbanding suku pertama tahun lepas.

“Bukan 6 peratus, bukan 16 peratus tapi naik 60 peratus. Inilah bukti keyakinan pelabur kepada dasar-dasar yang di bawah Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi.

Konklusinya, pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing dalam membawa masuk dan meluluskan pelaburan luar. Kita sepatutnya bersyukur kerana jumlah pelaburan ke negara ini semakin rancak dan kehadiran syarikat terkemuka bakal menaikkan nama negara di peringkat global.