Malaysia menyasarkan eksport durian ke China bernilai AS$229 juta (RM932.3 juta) menjelang 2030, didorong oleh peningkatan permintaan daripada pengguna di China serta pertumbuhan kukuh dalam penghantaran durian segar dan sejuk beku.

Kaunselor Menteri dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Niqman Rafaee M Sahar, berkata eksport durian segar melonjak sejak Malaysia memperoleh akses pasaran ke China pada Ogos 2024, petik The Edge Malaysia.

“Eksport durian segar meningkat lebih 500%, daripada kira-kira AS$5 juta (RM20.4 juta) kepada AS$37 juta (RM150.6 millon) pada tahun 2025 sahaja.

“Sementara eksport durian sejuk beku pula mencecah hampir AS$202 juta (RM822.3 juta) pada 2025, dan momentum positif ini berterusan pada suku pertama 2026.

“Pada suku pertama 2026, eksport durian kami mencecah AS$77 juta (RM313.5 juta), dan kami sedang berusaha untuk mencapai sasaran AS$229 juta (RM932.3 juta) menjelang 2030,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran ‘Durian Cube’, sebuah kedai perdana yang menjual durian Malaysia secara eksklusif di Beijing pada Sabtu.

Niqman Rafaee berkata China mengimport durian bernilai hampir AS$7 bilion (RM28.5 bilion) setiap tahun, terutamanya dari negara-negara Asean, tetapi Malaysia membezakan dirinya dengan menawarkan varieti premium.

Durian Gugur Sendiri Jadi Rebutan

“Duri Hitam (Black Thorn) dan Musang King kita sangat popular di pasaran sini. Kita tidak bersaing dari segi harga. Apa yang penting adalah menawarkan produk terbaik kepada pasaran.

Durian kita dibiarkan matang secara semula jadi dan gugur dari pokok sebelum dieksport ke China dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Beliau berkata Malaysia kini merangkumi kira-kira 4% hingga 5% daripada pasaran durian di China dan menyasarkan untuk meningkatkan pegangan tersebut kepada antara 8% hingga 10% dalam tempoh lima tahun akan datang, tertakluk kepada bekalan.

Selain durian segar dan sejuk beku, Niqman Rafaee berkata permintaan terhadap produk berasaskan durian Malaysia juga sedang meningkat di China.

“Industri hotel, restoran dan katering mengimport durian kita untuk menghasilkan pastri, coklat, snek, mochi dan pencuci mulut sejuk beku. Ini mewujudkan lebih banyak peluang bukan sahaja untuk durian segar dan sejuk beku tetapi juga untuk produk hiliran,” katanya.