Sekiranya anda masih ingat sekitar Ogos lalu, harga emas berjaya mencatat harga tertinggi dalam sejarah dunia. Peningkatan harga emas 916 atau 999 ini secara tidak langsung turut membuatkan kedai emas dipenuhi orang ramai.
Secara logiknya, sewaktu emas mencapai harga yang tinggi, para pelabur akan menjualnya bagi memperoleh keuntungan. Begitu juga dengan mereka yang terdesak memerlukan wang dengan memilih untuk menjual emas perhiasan mereka bagi mendapatkan wang.
Ironinya, perkara sebaliknya berlaku di mana orang ramai lebih berminat untuk membeli emas pada harga yang tinggi. Mengapa perkara ini berlaku?
Spekulasi harga emas akan terus meningkat
Umum tahu harga emas pada masa kini jauh lebih tinggi berbanding tahun atau dekad sebelum ini. Perkara ini membuatkan sejumlah besar orang ramai mendapatkan emas sebagai alat cagaran sekiranya memerlukan wang pada masa akan datang.
Dalam pada itu, faktor spekulasi harga yang dijangka akan terus meningkat antara yang menjadi punca utama orang ramai berebut-rebut dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkannya.
Tidak kurang juga ‘pelabur’ dan ‘penganalisa’ yang menakutkan orang ramai dengan harga emas pada masa akan datang sekaligus memberi harapan harga emas akan terus meningkat berbanding harga tertinggi pada ketika itu.
Namun perkara sebaliknya berlaku apabila harga emas dilihat semakin jatuh bermula akhir Ogos. Malah, harga emas pada hari ini mencatatkan harga terendah sepanjang empat bulan terakhir sekaligus membuatkan kedai emas sekali lagi dibanjiri orang ramai.
Penemuan vaksin COVID-19
Menerusi laporan daripada Livemint, antara faktor utama kejatuhan harga emas secara mendadak adalah berikutan penemuan vaksin COVID-19. Kehadiran vaksin Pfizer dengan peratusan keberkesanan setinggi 90% memberi keyakinan buat orang ramai untuk kembali hidup seperti sebelum ini.
Dalam erti kata lain, sektor ekonomi mampu diperluaskan melibatkan industri pelacongan, dagangan dan sebagainya. Orang ramai juga dijangka bebas untuk bergerak ke negara luar serta mengurangkan risiko dijangkiti wabak COVID-19.
Setakat ini, kehadiran vaksin COVID-19 masih lagi di peringkat awal namun kehadirannya sudah cukup memberi keyakinan buat orang ramai serta para penganalisa yang menjangkakan ekonomi akan kembali pulih menjelang 2022. Bank dunia pula mensasarkan selama lima tahun untuk ekonomi dapat kembali rancak seperti sebelum ini berikutan serangan wabak COVID-19.
Oleh yang demikian, adalah lebik untuk ramai mengenal pasti tujuan membeli emas sama ada untuk perhiasan mahupun pelaburan agar tidak kecewa di kemudian hari berikutan pembelian harga emas untuk pelaburan pada harga yang mahal.
Ketahui lebih lanjut vaksin percuma yang bakal ditawarkan buat 6.4 juta rakyat Malaysia seawal tahun hadapan dengan klik pautan di bawah.
Vaksin Percuma Untuk 6.4 Juta Rakyat Malaysia, Apa Yang Anda Perlu Tahu
Bill Gates Yakin Hampir Kesemua Vaksin Yang Dihasilkan Selamat Digunakan