Empat individu ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembinaan dan menaik taraf jalan bernilai RM114 juta, lapor Astro Awani.
Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, pada Rabu.
Baca Juga:
- ‘Hero’ Iklan Syampu Direman SPRM, Disyaki Agih Projek Runding Terus Bernilai RM92.5 Bilion
- Tular Jual Rakaman CCTV Pelanggan Di ‘Fitting Room’ Butik Terkemuka, Polis Sedia Jalankan Siasatan
- Selepas Pasangan Rusia, Bekas Askar Amerika Syarikat Pula Ceroboh Merdeka 118
Mereka yang ditahan ialah seorang pengarah urusan, pengurus besar dan dua pengarah syarikat daripada syarikat sama.
Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia lingkungan 38 hingga 65 tahun itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, pada petang Selasa selepas memberi keterangan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pengarah urusan yang berusia 65 tahun itu bertindak sebagai orang tengah dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat tersebut dengan dibantu oleh pengurus besar.
“Orang tengah terlibat dipercayai telah meminta sebanyak tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek di bawah program khas kerajaan tersebut.
“Projek tersebut merupakan projek membina dan menaik taraf jalan di selatan tanah air,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.