Pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos menegaskan saingan Liga Vietnam lebih sukar berbanding Liga Malaysia selepas diperkenalkan sebagai pemain import baharu Ho Chi Minh City musim ini.

Perpindahan pemain berusia 29 tahun itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Alistair Edwards sebagai salah satu usaha untuk memastikan pemain itu mendapat pengalaman berharga yang boleh dibawa ke JDT.

Baca Juga:

Selepas menyertai rakan sepasukan yang lain, Endrick melihat pengembaraan beliau ke Vietnam sebagai satu peluang untuk mencabar diri dan membantu kelab barunya memenangi kejuaraan.

“Saya mengambil kesempatan menonton persembahan pasukan di YouTube. Musim lalu, Ho Chi Minh City bermain dengan baik dan saya berharap tahun ini pasukan akan terus kekal cemerlang untuk meraih lebih banyak kejuaraan.

“Terdapat ramai rakan yang tahu tentang bola sepak Vietnam, jadi saya mengambil kesempatan untuk bertanya dengan mereka. V-League liga yang lebih sukar berbanding (Liga Super) Malaysia tetapi (Liga Super) Malaysia semakin berkembang dan semakin kuat.

“Begitu juga dengan pasukan Malaysia. Sekiranya saya berpeluang bersaing dengan pasukan Vietnam, ini akan menjadi cabaran besar bagi saya dan pasukan saya,” katanya.

Selain Endrick, JDT turut meminjamkan seorang lagi pemain iaitu Fergus Tierney yang menyertai kelab divisyen dua Thailand, Chonburi FC.

Endrick menjadi pemain pertama dari Malaysia beraksi di Liga Vietnam dan mengisi kuota pemain import Asia.

Ho Chi Minh City merupakan juara Liga Vietnam sebanyak 5 kali dan pernah beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2020.

Musim lepas, mereka berada di kedudukan keempat dalam saingan liga dan Endrick merupakan pemain import pertama yang telah disahkan menyertai pasukan itu.

Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, Endrick merekodkan 4 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dan pemain yang berusia 29 tahun itu masih belum menjaringkan sebarang gol mahu pun bantuan jaringan.