Seorang mekanik dan dua kakitangannya cedera selepas seorang pemilik BMW yang menambah aksesori enggan menjelaskan bayaran sebanyak RM38,000 kepada sebuah bengkel di Taman Setia Tropika, di sini, semalam.

Memetik laporan New Straits Times, Ketua Polis Johor Baru (utara) Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, mekanik berusia 29 tahun yang memiliki bengkel itu membuat laporan semalam.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Pemilik bengkel mendakwa pemilik BMW itu menghantar keretanya untuk dipasang aksesori pada hari Sabtu (7 September) dengan bil berjumlah RM38,000.

Pelanggan berusia 40 tahun itu meninggalkan keretanya untuk memasang tayar baharu, sportrim dan aksesori lain selepas bersetuju dengan harga tersebut.

Pelanggan itu kembali ke bengkel semalam bersama seorang lelaki lain dan meminta untuk memandu uji kereta yang baru dibuat itu.

Khuatir pelanggan mungkin melarikan diri, pemilik bengkel mengarahkan pekerjanya yang berusia 23 tahun untuk menemani pemilik BMW terbabit.

Semasa pandu uji di Taman Bukit Kempas, pelanggan memberhentikan kereta dan mengadu terdapat bunyi ketukan datang dari but.

Dia meminta pekerja bengkel yang menemaninya untuk memeriksa but kereta.

Apabila pekerja membuka pintu, rakan subahat pelanggan menyembur semburan lada dan kedua-duanya meninggalkan tempat kejadian.

Balveer berkata, mekanik yang menyaksikan kejadian itu cuba menahan suspek dengan berpaut pada cermin sisi kereta di persimpangan lampu isyarat tetapi hampir dilanggar.

Sementara itu, seorang lagi pekerja berusia 29 tahun, cuba mengejar motosikal, tetapi pemandu BMW itu didakwa merempuhnya.

Beliau berkata, lelaki berusia 23 tahun itu mengalami kerengsaan mata akibat semburan lada, manakala lelaki berusia 29 tahun mengalami patah tangan kanan serta kecederaan pada lutut dan pergelangan tangan.

Pemilik bengkel mengalami kecederaan siku ketika cuba menghalang suspek.

Beliau berkata, jumlah kerugian insiden itu dianggarkan berjumlah RM43,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan lain termasuk Seksyen 324 kerana sengaja mendatangkan bahaya menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Polis sedang giat mengesan suspek dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Nazarul Izwan Abdul Manaf di talian 019-381 1817.