Arsenal terlepas peluang untuk terus berada di tangga teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 selepas tewas kepada West Ham United 0-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Emirates sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan The Gunners berada di kedudukan kedua, ketinggalan dua mata dibelakang pendahulu liga, Liverpool yang mengumpul 42 mata.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Manakala West Ham United pula menghuni tangga keenam dengan 33 mata hasil 10 kemenangan, tiga keputusan seri dan enam kekalahan.

Penjaga gol West Ham, Alphonse Areola memainkan peranan penting buat pasukannya selepas menafikan lapan percubaan tepat yang dijelmakan oleh Arsenal sepanjang perlawanan.

Beraksi di laman sendiri, Arsenal kelihatan cukup garang dengan menguasai permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil, Micheal Oliver.

Bukayo Saka mendapat peluang dalam kawasan penalti seawal minit ketiga tetapi percubaannya setelah menerima umpanan cantik Martin Odegaard diselamatkan dengan mudah oleh Areola.

Rembatan daripada luar kawasan penalti oleh Leandro Trossard pada minit ke-11 pula melewati palang gol.

Tenang menyerap tekanan hebat diberikan tuan rumah, West Ham berjaya membuka tirai jaringan berselang dua minit kemudian menerusi rembatan jarak dekat Tomas Soucek.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran lintang Emerson Palmieri gagal dikeluarkan dengan baik oleh Oleksandr Zinchenko lalu membolehkan Jarrod Bowen melakukan hantaran buat Soucek yang tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut.

Bantuan Video Assistant Referee (VAR) diperlukan kerana bola hantaran Bowen dikatakan sudah keluar, namun selepas rujukan dibuat ternyata gol tersebut disahkan.

Arsenal yang tersentak dengan jaringan itu memperkemaskan aksi untuk mencari gol penyamaan, tetapi tandukan jarak dekat Saka diselamatkan Areola pada minit ke-30 manakala rembatannya dalam kawasan penalti ketika aksi memasuki minit ke-42 sekadar singgah di tiang gol.

Memasuki minit ke-56, Konstantinos Mavropanos yang merupakan bekas pemain pertahanan Arsenal menambah derita kelab tersebut menerusi tandukan susulan sepakan sudut James Ward-Prowse untuk mengukuhkan kedudukan buat pelawat.

Skuad kendalian David Moyes itu turut terlepas peluang menambah satu lagi jaringan apabila sepakan penalti Said Benrahma diselamatkan David Raya pada lewat permainan.

Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kekalahan ketiga buat Arsenal pada musim ini dalam kempen liga.