Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir berasa teruja selepas bertemu dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor baru-baru ini.

Tunku Ismail memuat naik gambar di laman media sosial rasmi miliknya yang menunjukkan beliau bertemu dengan Erick selain pemilik Valencia, Peter Lim dan Pengarah Utama Persib Bandung iaitu Glenn Sugita.

Baca Juga:

Pertemuan ini nyata mendapat sambutan hangat dari ramai pihak terutamanya selepas Tunku Ismail memberi bayangan mengenai revolusi bola sepak Asia Tenggara.

Erick yang juga pemilik kelab Oxford United itu turut menyifatkan baginda memiliki visi besar bukan saja untuk bola sepak ASEAN tetapi juga di peringkat Asia.

“Bertemu dengan Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim. Beliau punya visi besar untuk bola sepak Asia Tenggara bahkan Asia.

“Sangat menarik berdiskusi dengan baginda tentang kualiti bola sepak di negara-negara Asia Tenggara. Kami ingin negara di Asia Tenggara bisa bersaing di peringkat Asia bahkan hingga peringkat dunia,” kata Erick Thohir.

Sebelum ini, Tunku Ismail memuji Erick Thohir ketika beliau membalas ciapan seorang peminat di laman X yang mempersoalkan beberapa individu dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Peminat tersebut mempersoalkan individu seperti Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk Noor Azman yang gagal dalam menguruskan kelab tetapi mempunyai jawatan dalam FAM.

“Tetapi yang mengundi adalah ahli gabungan, pasukan dan persatuan juga. Itu pasal bola sepak Malaysia bermasalah. Orang yang ada dalam industri bola sepak yang tak berfungsi.

“Tiada visi, komitmen, pengetahuan dan semangat. Contoh, Erick Thohir ada duit, ada ilmu, ada kenalan di peringkat antarabangsa dan ada semangat. Sebab itulah bola sepak Indonesia meningkat dalam projek infrastruktur bola, liga dan pasukan kebangsaan mereka,” katanya.