Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor memuji Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir.

Tunku Ismail memuji Erick Thohir ketika beliau membalas ciapan seorang peminat di laman X yang mempersoalkan beberapa individu dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baca Juga:

Peminat tersebut mempersoalkan individu seperti Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk Noor Azman yang gagal dalam menguruskan kelab tetapi mempunyai jawatan dalam FAM.

“Tetapi yang mengundi adalah ahli gabungan, pasukan dan persatuan juga. Itu pasal bola sepak Malaysia bermasalah. Orang yang ada dalam industri bola sepak yang tak berfungsi.

“Tiada visi, komitmen, pengetahuan dan semangat. Contoh, Eric Thohir ada duit, ada ilmu, ada kenalan di peringkat antarabangsa dan ada semangat. Sebab itulah bola sepak Indonesia meningkat dalam projek infrastruktur bola, liga dan pasukan kebangsaan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail memberi bayangan bahawa beliau akan membantu FAM dalam menguruskan bola sepak negara.

Apa yang menarik perhatian, Tunku Ismail menegaskan beliau tidak akan menyertai FAM namun sebaliknya badan induk itu yang akan menyertai beliau.

“Saya tidak akan sertai FAM, FAM akan sertai saya,” katanya.

Sebagai rekod, Tunku Mahkota Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian.

Dalam perkongsian di laman media sosial baginda pada September lalu, organisasi berkenaan akan diketuai seorang Ketua Pegawai Bolasepak (CSO) atau Pengarah Teknikal selain dibantu beberapa pegawai lain antaranya Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.