Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menepis dakwaan melibatkan dirinya seperti dilaporkan beberapa media tanah air.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menghantar sebarang aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung salah laku dalam pendaftaran tujuh pemain warisan Malaysia.

Erick turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai langsung tidak berasas dan fokusnya lebih penting daripada perkara itu.

Menurut Erick Thohir, fokus utama PSSI ketika ini adalah untuk memperkukuhkan pasukan kebangsaan Indonesia.

Erick Thohir Bersuara

“Saya rasa, untuk apa kita mencampuri kemajuan negara lain,” jelas beliau menurut sumber laporan Kompas.com.

“Sedangkan kita perlu bersaing sesama negara Asia Tenggara, malah pada tahap lebih tinggi dengan negara-negara lain di Asia.”

“Jadi, saya minta maaf, tahapnya bukan di situ,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain yang terlibat dikenakan denda CHF2,000 (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Kegagalan dalam melakukan rayuan menyaksikan FAM bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, pada 26 Januari lalu, CAS telah mengeluarkan langkah sementara (provisional measures) untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut sehingga keputusan muktamad dibuat. Kesemua pemain tersebut dibenarkan bermain buat kelab masing-masing.

Sumber