Pengayuh beca di Melaka diminta mengubah pemasangan lagu daripada muzik dangdut kepada lagu tradisional atau dondang sayang dalam memperkenalkan seni budaya kepada pelancong terutama yang datang dari luar negara.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penerapan elemen budaya itu penting dalam memperkenalkan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan warisan dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), petik Malaysiakini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menerusis hantaran Facebook miliknya, beliau menjelaskan bahawa beca bukan sekadar pengangkutan tetapi dijadikan juga perkhidmatan riadah, hiburan, sejarah dan yang penting lawatan berpandu (Guided Tour) khususnya di Bandar Hilir.

“Mereka (pengayuh beca) ini sebagai duta kecil atau petugas barisan hadapan yang penting dalam menyambut tetamu datang ke negeri ini, jadi kita tidak mahu mereka memasang muzik yang terlalu kuat atau rancak (dangdut) sepanjang masa sehingga mengganggu dan mengundang ketidakselesaan penumpang.

“Kita juga ada menerima aduan mengenai perkara ini, justeru kita melihat pemilihan lagu kepada elemen tradisional ketika TMM2024 itu juga lebih sesuai dan ini antara syarat yang akan ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat lesen atau permit beca,” katanya kepada pemberita di Jalan Kota, Banda Hilir di Melaka hari ini.

Terdahulu, semasa Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 dan Program Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024, beliau berkata kerajaan negeri juga akan membiayai permit beca bagi tahun depan kepada lebih 370 pengayuh beca di negeri ini.

Abdul Razak juga mengingatkan persatuan beca di negeri tersebut supaya tidak mengambil kesempatan dan hanya mengenakan kadar bayaran kepada penumpang mengikut harga yang telah diselaraskan iaitu RM40 bagi satu jam perkhidmatan.

Tambah beliau lagi, bagi ingin menjaga kebajikan pengusaha beca, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan untuk menanggung 80% kos caruman PERKESO di bawah skim pekerjaan sendiri.