Prinsipal pasukan McLaren, Andrea Stella mengakui bahawa terdapat dua pasukan yang ketika ini berada selangkah di hadapan menjelang musim Formula 1 (F1) 2026.
Dalam tempoh dua minggu lagi, kempen F1 2026 bakal membuka kempennya menerusi aksi Australian Grand Prix yang berlangsung di Albert Park Circuit, Melbourne.
Minggu lalu, sesi ujian pra-musim telah melabuhkan tirai dengan pasukan seperti Ferrari, Mercedes, McLaren dan Red Bull Racing masing-masing mempamerkan sesi yang cukup meyakinkan.
Pada Jumaat, pemandu Ferrari, Charles Leclerc menamatkan sesi ujian sebagai pelumba terpantas, mengatasi Lando Norris dan Max Verstappen.

Menjelang musim 2026, Norris hadir selaku juara dunia bertahan selepas meraih gelaran sulungnya pada 2025 dengan kelebihan dua mata mengatasi Verstappen.
Berbekalkan keyakinan tinggi dimiliki, Norris memasang impian besar untuk terus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dengan cukup dramatik itu.
Dua Pasukan Mampu Halang Penguasaan McLaren
Namun begitu, dalam kenyataan terbaharu, Stella mengakui bahawa pasukannya ketika ini masih berada di belakang dua pencabar utama.

“Saya boleh katakan bahawa sesi ujian ini mengesahkan Ferrari dan Mercedes kelihatan sebagai pasukan yang perlu ditewaskan,” ujar Stella menurut sumber laporan Planet F1.
“Saya fikir McLaren tidaklah terlalu jauh di belakang. Saya rasa positif melihat kami masih berada dalam kelompok empat teratas. Namun saya berpendapat dua pasukan itu kelihatan memiliki sedikit kelebihan.”
“Sebab mengapa saya fikir kami perlu berhati-hati adalah kerana bergantung kepada waktu hari, simulasi perlumbaan boleh menjadi jauh lebih pantas. Seperti yang dilakukan Lando tadi, dia menunjukkan prestasi yang cukup kuat dalam simulasi perlumbaan.”
“Namun pada masa sama, penghujung hari ketiga mungkin merupakan keadaan trek paling pantas sepanjang enam hari ujian ini. Jadi, sukar untuk membuat kesimpulan tepat. ”
“Saya fikir McLaren dan Red Bull mungkin berada pada tahap yang hampir sama. Tetapi Ferrari dan Mercedes dilihat selangkah di hadapan,” tambah beliau lagi.