Kehadiran peminat Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain mencetuskan lonjakan mendadak terhadap permintaan penginapan di Sepang, hingga melimpah ke kawasan sekitar seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Petaling Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, majoriti hotel berhampiran litar kini hampir penuh, termasuk premis berdekatan IOI City Mall yang turut menempatkan kakitangan dan pasukan perlumbaan.

“Sebagai contoh, pada hari pengumuman itu, jumlah carian penginapan bagi ‘Sepang’ dan ‘Kuala Lumpur’ di platform berkenaan melonjak 1,600 kali ganda, tidak termasuk platform tempahan lain dan tempahan terus kepada hotel,” katanya kepada Media Selangor.

Selain impak ekonomi secara langsung, kehadiran pelumba antarabangsa turut memberi nilai promosi gergasi kepada industri pelancongan Selangor.

Pelumba Mercedes, Andrea Kimi Antonelli, serta pelumba Finland, Valtteri Bottas, dilihat berkongsi aktiviti mereka melawat Splash Mania Water Park dan berbasikal di Gold Coast Resort menerusi media sosial.

“Kimi ialah pelumba terkenal di peringkat antarabangsa, begitu juga Valtteri Bottas. Kini mereka sendiri mengunjungi tempat menarik di Selangor dan berkongsi pengalaman melalui media sosial, memainkan ‘kesan selebriti’, yang sudah pasti merupakan promosi sangat bernilai untuk Selangor.

“Satu hantaran daftar masuk mereka membawa pendedahan lebih besar daripada banyak kempen promosi kita. Ia bukan sahaja menarik perhatian peminat perlumbaan dan pelancong global dengan pantas, malah secara tidak langsung meningkatkan reputasi dan membawa kesan ekonomi besar kepada industri pelancongan,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang acara, pihak berkuasa telah menambah keanggotaan polis trafik.

Para penonton turut digalakkan memanfaatkan pengangkutan awam, teksi, dan perkhidmatan e-hailing sebelum menaiki bas perantara (shuttle bus) ke litar, sekali gus membuka peluang rezeki tambahan kepada pengusaha sektor pengangkutan.

Tourism Selangor kini giat memperkemas promosi digital menerusi Facebook, Instagram, dan TikTok, selain bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk menawarkan pakej pelancongan khas.

Pihaknya berhasrat memanfaatkan tempoh jeda antara GP F1 Gulf Air Bahrain (2 hingga 4 Oktober) dan GP F1 Singapura 2026 (9 hingga 11 Oktober) bagi menarik pelancong antarabangsa untuk terus menetap dan bercuti di Selangor.