Penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Malaysia berpotensi menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah ini dijangka merangsang pelbagai sektor menerusi peningkatan perbelanjaan daripada pelawat domestik mahupun antarabangsa.

Pakar Ekonomi dan Profesor Emeritus Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr. Barjoyai Bardai, menyatakan bahawa acara berprestij itu berupaya menjana aktiviti ekonomi bernilai lebih RM1 bilion, petik Berita Harian.

Impak positif ini didorong oleh lonjakan perbelanjaan dalam sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti, serta perkhidmatan berkaitan.

Menurut beliau, peningkatan kadar penginapan hotel dan permintaan terhadap perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) secara langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengunjung bakal memberi limpahan manfaat ekonomi yang lebih meluas menerusi peningkatan pendapatan dan peluang perniagaan. Pada masa sama, liputan media antarabangsa akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat global, sekali gus mempromosikan infrastruktur dan persekitaran perniagaan negara kepada bakal pelabur,” jelas beliau.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, yang menjelaskan bahawa saluran utama sumbangan ekonomi ini adalah menerusi eksport pelancongan.

Beliau memberi penekanan bahawa perbelanjaan pelawat asing direkodkan sebagai eksport perkhidmatan dalam akaun negara. Perkara ini menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor perkhidmatan dan mengukuhkan akaun semasa.

“Berbeza dengan perbelanjaan domestik, kehadiran pelancong luar membawa kemasukan aliran dana baharu ke dalam ekonomi, sekali gus memberi kesan pengganda ekonomi yang lebih kukuh.

“Saluran kedua pula adalah menerusi penggunaan swasta yang menyumbang lebih separuh daripada KDNK Malaysia. Pelawat F1 secara puratanya mempunyai kadar perbelanjaan per kapita yang lebih tinggi berbanding pelancong biasa, terutamanya bagi sektor penginapan, penerbangan, peruncitan, dan hiburan,” katanya.

Impak Terhadap KDNK dan Sektor Penerbangan

Mengulas mengenai impak terhadap KDNK tahunan, Dr. Barjoyai menjelaskan bahawa sumbangan secara langsung adalah sederhana. Bagaimanapun, KDNK suku tahunan—khususnya bagi suku keempat 2026—dijangka mencatatkan peningkatan hasil daripada keaktifan sektor perkhidmatan.

Tambah beliau, penganjuran F1 penting dalam membantu usaha kepelbagaian ekonomi negara supaya tidak terlampau bergantung kepada sektor pembuatan dan eksport semata-mata.

Bagi sektor penerbangan, dianggarkan seramai 50,000 pelawat antarabangsa bakal menghadiri acara tersebut. Sekiranya 90 peratus daripada mereka mengembara menerusi laluan udara, ini akan menyumbang kira-kira 90,000 jumlah pergerakan penumpang pergi dan balik.

Peningkatan trafik ini dijangka meningkatkan faktor muatan syarikat penerbangan bagi laluan serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia, China, Jepun, Australia, dan Asia Barat, selain memberi limpahan rezeki kepada peruncitan di lapangan terbang.

Secara keseluruhannya, sektor pelancongan dan peruncitan bakal menerima manfaat terbesar, dengan impak ekonomi yang lebih nyata dijangka dirasai menjelang tarikh penganjuran acara berkenaan.

Sumber