Fabrizio Romano, wartawan bola sepak paling sinonim dengan dunia perpindahan pemain, secara mengejut memberi bayangan bahawa dia mungkin tidak akan meneruskan kerjayanya dalam bentuk yang sama selepas ini.
Fabrizio Romano yang terkenal dengan frasa ikonik “Here We Go!” sudah bertahun-tahun menjadi rujukan utama peminat bola sepak apabila melibatkan berita perpindahan pemain.
Namun menerusi satu hantaran di LinkedIn, wartawan Itali berusia 33 tahun itu memberi petunjuk bahawa dia mahu mengubah pendekatan terhadap kerjayanya.
“Saya mungkin tidak akan meneruskan dalam industri pasaran perpindahan seperti yang saya lakukan sekarang untuk tempoh yang lebih lama.
“Sudah tiba masanya untuk mengubah pendekatan dan pandangan. Tetapi ini akan menjadi topik lain tidak lama lagi, selepas jendela perpindahan ditutup,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Romano.
Selama ini, namanya cukup sinonim dengan perkembangan transfer.
Daripada awal khabar angin (rumors), rundingan, pemeriksaan perubatan sehinggalah pengumuman rasmi, Fabrizio Romano sering menjadi individu pertama yang memberikan perkembangan kepada peminat.
Malah, istilah “Here We Go!” sudah menjadi sebahagian daripada budaya bola sepak moden.
Fabrizio Romano turut mengakui bahawa perkara yang paling membuatkannya teruja sepanjang karier ialah adrenalin mendapatkan berita eksklusif.
“Adrenalin daripada berita tergempar, eksklusiviti dan faktor tidak dijangka — daripada tiada langsung kaitan sehingga menjadi satu perpindahan yang selesai — perkara itu akan sentiasa tiada tandingan bagi saya.”
Sebelum ini, Romano pernah mendedahkan betapa ekstrimnya rutin kerjanya ketika jendela perpindahan.
Dia pernah mendakwa tidur hanya sekitar lapan jam dalam tempoh tiga hari dan menghabiskan sehingga 17 jam sehari menggunakan telefon untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Kini persoalannya cuma satu.
Selepas jendela perpindahan ditutup, apa sebenarnya yang Fabrizio Romano sedang rancang?
Adakah era “Here We Go!” bakal memasuki bab terakhirnya?