Pemain skuad bawah 20 tahun Bhayangkara FC, Fadly Alberto Hengga tampil memohon maaf atas ketelanjurannya sebaik tamat perlawanan Elite Pro Academy (EPA) B-20 tempoh hari.

Seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, Fadly bertindak melakukan ‘tendangan kungfu’ kepada pemain Dewa United, Rakha Nurkholis sehingga mencederakan pemain tersebut.

Insiden tersebut nyata mengundang kecaman hebat daripada peminat bola sepak di Indonesia memandangkan Fadly Alberto merupakan antara prospek muda negara tersebut. Malah, dia juga pernah membarisi skuad bawah 17 tahun Indonesia.

Menyedari tindakan tersebut adalah satu perbuatan yang tidak profesional dan mampu menjejaskan kariernya, Fadly tampil secara terbuka menyatakan kekesalannya.

Fadly Alberto Mohon Maaf

Fadly Alberto mengakui bahawa emosi yang tidak terkawal dalam perlawanan tersebut telah mendorongnya melakukan tindakan agresif yang membahayakan pemain lawan.

“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Saya Fadly Alberto Hengga, pemain Bhayangkara Presisi Lampung FC U-20.”

“Dengan penuh kesedaran, saya memohon maaf dan menyesal atas perbuatan bodoh saya ketika menentang Dewa United Banten FC U-20,” ujar Fadly Alberto Hengga menerusi hantaran di Instagram peribadi miliknya.

“Secara khusus, saya memohon maaf kepada Rakha Nurkholis dan pasukan Dewa United atas tindakan melampau saya menendang Rakha Nurkholis.”

“Selain itu, buat pasukan Bhayangkara Presisi Lampung FC, saya ingin memohon maaf kepada pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, serta rakan sepasukan kerana telah merugikan pasukan.”

“Dan buat skuad kebangsaan Indonesia, saya memohon maaf kerana perbuatan saya telah mencemarkan nama baik pasukan kebangsaan. Kepada seluruh masyarakat Indonesia, saya juga memohon maaf atas kekecohan yang berlaku akibat tindakan saya itu,” tambah Fadly lagi.