Pemain sayap Selangor, Faisal Halim kini menjalani proses fisioterapi bagi memulihkan fungsi pergerakan tangan kiri beliau yang terkesan selepas beliau disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon dimana pemain ini sudah menjalani proses tersebut sejak beberapa hari yang lalu.
Baca Juga:
- Faisal Halim Mahu Kembali, Sudah Mula Lakukan Senaman Ringan
- Faisal Halim Terima Kunjungan Tun Dr Mahathir
- Faisal Halim: Kim Pan-gon Mahu Saya Kembali Beraksi
“Alhamdulillah Faisal dalam proses pemulihan, luka-lukanya semakin kering dan dia juga sudah mula menjalani proses fisioterapi lebih intensif yang boleh menggerakkan tangan kiri. Fokusnya untuk pergerakan penuh tangan kirinya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Dalam masa yang sama, Dr Johan menyatakan minggu hadapan Faisal Halim akan menjalani latihan ringan bagi mengembalikan semula tahap kecergasan.
“Latihan yang akan dilakukan Faisal hanya ringan sahaja memandangkan dia masih lagi dalam proses pemulihan,” tambahnya.
Sebelum ini, Faisal membuat kemunculan buat kali pertama selepas beliau disimbah asid dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor.
Selain itu, pemain yang berusia 26 tahun itu turut menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memberikan semangat tambahan kepadanya untuk segera pulih dan kembali beraksi dalam sukan bola sepak.
“Tidak pernah terjangka untuk menerima kunjungan dari insan hebat hari ini. Terima kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi meluangkan masa untuk menziarahi saya sekeluarga.
“InsyaAllah, saya akan terus cekal dan berusaha keras untuk kembali suatu hari nanti. Terima kasih semua kerana terus mendoakan,” tulis Faisal atau dikenali sebagai Mickey di laman Instagram miliknya.