Pemain Selangor, Faisal Halim mula berkomunikasi dengan rakan sepasukan selepas lebih seminggu dirawat di hospital ekoran menjadi mangsa serangan asid yang berlaku baru-baru ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dimana menurut beliau Faisal dan rakan sepasukan saling berhubung menerusi voice note menjelang perlawanan antara skuad Gergasi Merah menentang Kedah Darul Aman di Stadium MBPJ pada Sabtu ini.

Baca Juga:

Menurut Shahril, para pemain bersemangat untuk turun beraksi Sabtu ini sekaligus menghadiahkan tiga mata bagi Faisal.

Faisal Halim

“Alhamdulillah, Faisal sudah mula berhubung dengan kawan-kawan rapat dalam pasukan melalui nota suara.

“Kawan-kawan rapat beri semangat kepada Faisal. Seluruh keluarga Faisal juga akan turun ke stadium Sabtu ini. Ayah dan adik-beradik dia,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Faisal Halim akan menjalani proses menjalani pembedahan buat kali keempat dan menurut Ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata prosedur itu akan melibatkan pengambilan kulit lain di bahagian badan Faisal seperti paha dan akan dipasang di beberapa bahagian yang terkena asid.

“Prosedur seterusnya pada minggu hadapan yang melibatkan ‘split skin graft’ jika tiada apa-apa halangan. Kulit yang akan diambil itu bergantung kepada pemeriksaan pakar bedah nanti. Banyak perkara perlu diambil kira terutama kawasan kulit mana yang sesuai dan sebagainya.

“Namun, kalau tengok dari segi prosedur kemungkinan akan diambil daripada bahagian paha. Tetapi, untuk bahagian teknikal ini kita biarkan pakar buat keputusan,” katanya menurut laporan Majoriti.

Tambah Dr Hazwan, prosedur pada minggu hadapan akan menjadi pembedahan yang terakhir sekiranya semua berjalan lancar.

Pada masa yang sama, Dr Hazwan juga menyatakan perkembangan Faisal sangat positif minggu ini dimana pakar yang mengendalikan beliau serta pihak kelab gembira dengan perkembangan ini.