Saya ingin berkongsi pendapat Dr Zakir Naik berkenaan PERUBATAN dan ISLAM. Pendapat beliau diperolehi apabila saya sendiri bertanya soalan kepada beliau semasa ceramahnya diadakan di Besut baru-baru ini.

Saya telah menulis sedikit kupasan daripada butir kata-kata beliau dan juga mengambil video asal tersebut. Tujuannya untuk memudahkan pembaca memahami maksud dan nas yang disampaikan beliau.

Berikut adalah TIGA perkara penting yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik kepada para hadirin berkenaan dengan al-quran dan sains dari aspek kesihatan menurut perspektif Islam yang syumul.

1. Masalah Ekstremisme Dalam Beragama Dan Ketaksuban Kepada Asbab/Makhluk

doc3

Tiada manusia yang dapat memberi kesembuhan melainkan kesemuanya dengan keizinan daripada Allah SWT. Manusia hanya mampu berikhtiar dan kemudian bertawakal untuk mencari penawar kepada setiap penyakit.

Masalahnya adalah ada pihak yang hanya mempercayai bahawa hanya Allah sahaja yang boleh menyembuh dan tidak perlu berjumpa doktor. Ini adalah golongan yang ekstrem dalam beragama. Menolak perubatan moden adalah kejahilan dan kebutaan.

Manakala ada pula pihak yang berkata hanya berjumpa doktor sudah mencukupi dan ini adalah golongan yang taksub kepada kehebatan hamba. Menolak sunnah dan rawatan cara Islam adalah kesombongan dan kekosongan.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisa Ayat 171:

Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu

Ada juga pihak yang hanya ingin beramal dengan ayat-ayat Ruqyah di dalam Al-Quran untuk beramal, maka ini juga tiada masalah.

Allah berfirman dalam surah Isra Ayat 81-82

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap (81). Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orangyang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua (82).”

Oleh itu penting bagi umat Islam menyeimbangkan antara pendekatan ruhiyah dan perubatan moden. Penolakan salah satu antaranya akan membawa kemudaratan dan kecelakaan.

2. Jika Kita Sakit, Wajib Berjumpa Doktor

 Pembedahan C-Sec mengeluarkan bayi pada zaman awal kegemilangan perubatan dan Islam

Islam mengajar umatnya bersederhana atau wasatiyah dan sentiasa menyeimbangi keperluan dunia dan akhirat. Tidak dinafikan Allah adalah penyembuh segala penyakit dan ayat-ayat AL-Quran juga berupaya menyembuhkan penyakit.

Namun Allah juga berfirman dalam surah AN-Nahl ayat 43 dan Surah AN-Anbiya’ ayat ke 7:

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Menurut Dr Zakir Naik, sekiranya kita jatuh sakit maka Allah memerintahkan kita bertemu doktor atau orang yang mempunyai ilmu perubatan untuk merawat kita. Dan jika kita tidak berjumpa doktor maka kita tidak mengikut suruhan Allah.

doc5

Orang yang ahli dalam bidang perubatan pula perlulah sahih dan diiktiraf keilmuannya oleh badan-badan yang bertauliah dan dipercayai. Janganlah masyarakat mudah mempercayai ‘doktor-doktor jadian’ yang hanya belajar daripada Google atau Internet atau membaca buku perubatan sahaja di medium media sosial.

DZN juga memaklumkan bahawa Umat Islam juga tidak ada masalah untuk berubat dengan Doktor Bukan Muslim. Namun demikian, jika mendapatkan rawatan daripada Doktor Muslim itu adalah lebih baik.

Oleh itu, berjumpa doktor adalah kewajipan bagi Umat Islam sekiranya jatuh sakit demi memelihara kelestarian kesihatan umat.

3. Memelihara Nyawa Adalah Keutamaan

doc6

Sesungguhnya memelihara nyawa lebih utama daripada perkara halal dan haram ketika sakit.

Terdapat 5 perkara asas dalam maqasid syariah dalam konteks menegakkan agama hari ini.
1. Memelihara agama (Hifzu ad-Deen)
2. Memelihara nyawa (Hifzu al-Hayah)
3. Memelihara akal (Hifzu al-Aqli)
4. Memelihara keturunan (Hifzu an-Nasab)
5. Memelihara harta (Hifzu al-Mal)

Susunan dalam maqasid syariah ini adalah mengikut tertib keutamaannya bagi memelihara setiap satu darinya, maka setiap yang memegangnya pula haruslah mengikut tertib ini.

Pertama, memelihara agama – merupakan perkara asas dan paling utama untuk didahulukan. Bagi setiap perkara, perkara hal agama diberi keutamaan kerana tujuan kita diatas muka bumi ini tidak lain adalah sebagai khalifah yang membawa agama Islam untuk disuburkan di atas muka bumi ini.

Keduanya, memelihara nyawa – Sebagai pemelihara agama, harus bagi seorang yang bernama pejuang itu mengorbankan nyawanya untuk menegakkan dan meninggikan kalimat Allah. dan sebagai seorang pejuang agama juga, syahid merupakan cita-cita tertinggi, persis perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah suatu ketika dahulu.

Ketiga, memelihara akal – untuk menjaga nyawa, dalam sesuatu keadaan (darurat) haruslah bagi seseorang itu untuk mengorbankan akalnya supaya tidak terkeliru.

Keempat pula, memelihara keturunan – bagi sesetengah hal, dibolehkan untuk mengorbankan keturunan demi menyelamatkan akal.

Kelima, memelihara harta – harta merupakan peringkat terendah yang paling perlu dikorbankan untuk memelihara keturunan secara umumnya, dan dalam menegakkan dan memelihara agama.

Dalam hal kesihatan adalah wajib bagi kita memelihara dan menjaga nyawa.

Oleh itu, menurut DZN sendiri sekiranya ada penawar atau ubat untuk mencegah kemudaratan yang besar kepada nyawa manusia seperti penyakit berjangkit yang merbahaya, kanser dan sebagainya namun kandungannya daripada bahan yang HARAM seperti alcohol, unsur khinzir dan lain-lain. Maka, Islam membenarkan pengambilannya pada kadar yang diperlukan sahaja.

Sekiranya mengikutkan kepada kefahaman AKAL semata-mata maka makanan yang dilarang oleh agama Islam adalah HARAM bagi umat Islam untuk memakannya.

Namun, menurut DZN lagi, kelonggaran ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 123, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah An-Nam ayat 125.

Allah juga berfirman di dalam surah An-Nahl Ayat 115 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, dan daging babi, binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa memakannya kerana darurat sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampui batas maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Kelonggaran ini hanya untuk penyakit-penyakit merbahaya dan mengancam nyawa manusia seperti batuk kokol, meningitis, kanser, jantung dan sewaktu dengannya selagi mana tiada alternatif rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa umat Islam.

Penyakit seperti ini, rawatan dan ubat-ubatannya tidak dijual secara terbuka dan adalah terkawal iaitu perlu diperiksa oleh doktor perubatan terlebih dahulu.

Penyakit kecil seperti demam, selsema, sakit tekak dan seangkatan dengannya pula, maka WAJIBlah umat Islam mencari penawar yang HALAL dan SELAMAT digunakan.

Kesimpulan

Umat Islam perlulah mengamalkan Al-Quran secara menyeluruh dan bukannya sebahagian sahaja mengikut keperluan individu semata-mata.

Dalam konteks perubatan dan Islam maka perlu wujudnya keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Berlebih-lebihan dalam apa jua perkara akan membawa kita kepada kebinasaan.

Jika kita mahu belajar atau mencari ilmu maka kita akan mencari GURU. Begitu juga, jika kita sakit maka kita perlu berjumpa doktor.

Islam memberi kelonggaran kepada umatnya ketika darurat atau perkara yang dapat menyelamatkan nyawa manusia. Jangan jumudkan Islam kerana kefahaman yang singkat dan kecetekan ilmu kita.

Sila tonton video tersebut:

Semoga kupasan ini memberi manfaat dan kefahaman kepada kita semua.

Silalah kongsikan kepada pihak lain agar banyak pihak beroleh manfaat.