Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan akan membuat rayuan terhadap hukuman yang diterima kerana melanggar artikel 22 Kod Tatatertib (FDC) mengenai pemalsuan dokumen berkaitan pendaftaran pemain warisan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), FAM telah mengemukakan pertanyaan kelayakan dan dengan berbuat demikian, ia menggunakan dokumentasi yang telah diubah melibatkan Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.

Sehubungan dengan itu, FAM telah diarahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000.

Manakala, pemain-pemain tersebut telah diarah membayar denda sebanyak CHF 2,000 kepada FIFA dan dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan keputusan itu.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pihak kami telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan kes pemain warisan.”

“FAM ingin menegaskan bahawa para pemain terbabit dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.”

“FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.”

“Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.”

“Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.”

“FAM kekal komited untuk bertindak dengan tegas, mematuhi peraturan antarabangsa, serta mempertahankan integriti bola sepak negara.”

“Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.”

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan oleh FAM akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” ujar badan induk bola sepak negara itu dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook.

Sumber