Pempengaruh yang cukup terkenal dengan tagline ‘Hitam Itu Premium’ dan modifikasi kereta Perodua Bezza, Fendy Mojo berkongsi keterujaannya selepas melihat kereta projek terbaharu daripada Perodua.

Menerusi video berdurasi hampir satu minit itu, Fendy menyatakan dia berasa takut selepas menerima jemputan daripada pihak Perodua untuk hadir ke ibu pejabat syarikat pengeluar kereta tempatan itu.

“Selama inikan saya make up Bezza. Tiba-Tiba Perodua panggil saya. Saya rasa takut juga, sebab takut ada buat salah ke apa kan.

“Tapi rupa-rupanya saya dapat jemputan istimewa untuk tunjuk sesuatu. Tapi saya seorang saja boleh tengok,” kata Fendy.

@fendymojo

Perodua panggil aku tengok kereta project diorang yang paling rahsia. fuh mengancam. #hitampremium #fendymojo

♬ original sound – Fendymojo – Fendymojo

Pempengaruh itu dibawa masuk ke satu ruangan gelap dan terdapat sebuah kereta berbentuk SUV mirip Perodua Ativa tertutup di hadapannya.

Menurut Fendy, kereta tersebut Perodua sudah make up dengan konsep baharu.

Oleh kerana kereta itu masih lagi dirahsiakan, Fendy berkongsi close up beberapa bahagian kereta tersebut; lampu hadapan, gril hadapan, lampu brek belakang, spoiler, lampu DRL, serta beberapa bahagian lain lagi.

“Jap sebelum sebut mengenai Perodua ini, saya macam ‘teracun’ dengan kereta Ativa ini. Anda semua rasa kalau modified kereta ini lawa tak?

“Kepada pemilik Perodua Ativa, cuba anda semua kongsi sedikit bayangkan kereta anda semua sudah siap modified. Saya nak tengoklah. Siapa dapat teka, memang powerlah,” katanya lagi.

Berdasarkan teaser dan hint yang dikongsikan Fendy Mojo, warganet berpendapat Perodua bakal melancarkan model kedua SUV mereka yang bakal dikenali sebagai ‘Perodua Nexis’.

Dalam pada itu, ada berpendapat itu merupakan kereta konsep ‘Perodua EMO-II’ yang bakal debut di acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) minggu ini. EMO-II (Electric Motion Online) merupakan kereta sporty hatchback hasil tangan Perodua sendiri.

Walaupun masih samar-samar lagi apakah betul Perodua Nexis bakal dipertonton kepada orang ramai, netizen sudah pun siap-siap buat Facebook Group khas untuk model tersebut.