Penyerang muda sensasi Indonesia, Marselino Ferdinan dan pemain pertahanan Jordan, Mohammad Abualnadi telah mencuri tumpuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hal ini kerana badan induk bola sepak dunia itu telah menyenaraikan dua tonggak negara masing-masing sebagai antara enam pemain yang perlu diberikan tumpuan pada 2025.
Baca Juga:
- Netizen Indonesia Berang Peminat Man United ‘Claim’ Marselino Ferdinan Asal Dari Malaysia
- Marselino Ferdinan Resmi Sertai Kelab Divisyen 2 England
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Dua Gol Marselino Ferdinan Pastikan Kejayaan Indonesia Tewaskan Arab Saudi
Merupakan pemain import Selangor, Abualnadi telah dilabel sebagai sebagai seseorang yang berpotensi menjadi tonggak pasukan untuk tahun-tahun akan datang.
Menurut laman sesawang rasmi FIFA, pemain tersebut telah mempamerkan konsistensi dan ciri-ciri kepimpinan yang baik terutamanya dalam kelayakan Piala Dunia dimana Jordan pada ketika ini menghuni tangga ketiga dibelakang Korea Selatan dan Iraq.
Abualnadi memperoleh penampilan sulungnya untuk pasukan senior dalam perlawanan menentang Korea DPR pada 27 Ogos dalam aksi persahabatan.
Marselino Ferdinan yang berkelana ke England untuk bersama Oxford United menggegarkan Stadium Gelora Bung Karno pada 19 November lalu hasil dua jaringannya ketika membenam Arab Saudi.
Pada usia 20 tahun, beliau sudah mampu menggalas tanggungjawab berat bersama skuad kendalian Shin Tae-yong itu.
Sudah pasti banyak lagi jaringan yang mampu untuk disumbangkan oleh beliau selepas ini.
Selain Marselino dan Abualnadi, pemain-pemain yang perlu diberikan perhatian memasuki tahun baharu nanti menurut FIFA ialah Abbosbek Fayzullaev dari Uzbekistan, Ali Jasim Elaibi Al-Tameemi (Iraq), Marcus Meloni (Emiriah Arab Bersatu) dan pemain Korea Selatan, Seol Youngwoo.