Floyd Mayweather dan Manny Pacquiao dijangka menghidupkan semula perseteruan hebat mereka dalam satu perlawanan ulangan yang mengejutkan di Las Vegas .

Floyd Mayweather yang kini berusia 49 tahun secara rasmi akan keluar daripada persaraan untuk menentang Manny Pacquiao di Sphere pada Sabtu, 19 September ini.

Ia menamatkan penantian 11 tahun selepas pertarungan pertama yang dinanti-nantikan antara dua legenda tinju tersebut.

Manny Pacquiao yang muda setahun berbanding Mayweather kembali daripada persaraan pada 19 Julai 2025 apabila menentang Mario Barrios bagi merebut kejuaraan welterweight WBC.

Pertarungan tersebut bagaimanapun berakhir dengan keputusan seri majoriti sekali gus menyaksikan Barrios mengekalkan tali pinggangnya.

Mayweather meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara ketika mereka bertarung pada 2 Mei 2015 dalam perlawanan yang dipromosikan sebagai ‘Fight of the Century’.

“Saya sudah pernah bertarung dan menewaskan Manny sekali. Kali ini keputusannya akan tetap sama,” kata Mayweather menurut sumber laporan Sky Sports.

‘Fight of the Century’ Kembali: Mayweather & Pacquiao Bertemu Lagi
Kredit Foto: 2025 NBAE Kate Frese/NBAE via Getty Images/AFP (Photo by Kate Frese / NBAE / Getty Images / Getty Images via AFP

Pertemuan Menarik Mayweather vs Pacquiao

Ia menandakan episod kedua bagi perseteruan dua generasi yang dunia tinju mungkin mengharapkan ia menjadi kenyataan lebih awal, sebelum akhirnya direalisasikan kira-kira sedekad lalu.

Pertembungan dua ikon tersebut akhirnya menyaksikan Floyd Mayweather melebarkan rekod profesional sempurnanya kepada 48 kemenangan berturut-turut.

Angka itu meningkat kepada 50-0 hasil kemenangan ke atas Andre Berto pada September 2015 dan bintang UFC, Conor McGregor pada Ogos 2017, sebelum beliau mengumumkan persaraan.

Pacquiao pula memiliki rekod 62 kemenangan, lapan kekalahan dan tiga keputusan seri, serta telah beraksi lapan kali sebagai profesional sejak tewas kepada Floyd Mayweather.

“Floyd dan saya telah memberikan dunia apa yang kekal sebagai pertarungan terbesar dalam sejarah tinju,” kata Pacquiao.

“Para peminat sudah menunggu terlalu lama. Mereka berhak menyaksikan perlawanan ulangan ini dan ia akan menjadi lebih besar kali ini kerana akan di strim secara langsung ke seluruh dunia menerusi Netflix.”

“Saya mahu Floyd hidup dengan satu kekalahan dalam rekod profesionalnya, dan sentiasa mengingati siapa yang memberikannya.”

“Seperti biasa, saya dedikasikan pertarungan ini kepada rakyat Filipina di seluruh dunia serta untuk membawa kegemilangan kepada Filipina.”

Sumber