Hanung Bramantyo sememangnya kurang dikenali sebagai seorang insan seni di Malaysia tetapi filem-filemnya agak terkenal di negara kita seperti Perempuan Berkalong Sorban (2009), Ayat-Ayat Cinta (2008), dan Rudy Habibie (2016).

Malah, Cinta Paling Agung (2015) yang dilakonkan oleh Aaron Aziz dan Siti Saleha adalah antara filem beliau yang agak terkenal di Malaysia termasuk yang terkini, Surga Yang Tak Dirindukan 2 (2016).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun siapa pernah tahu filem-filem awal pengarah ini yang aku rasakan lebih ‘baik’ dari filem bertema cinta beliau?

Sinopsis Doa Yang Mengancam

https://www.youtube.com/watch?v=aMh02CIfxJA

Sinopsis ringkas Doa Yang Mengancam (DYM), Madrim bekerja sebagai seorang pengangkut barang. Saban hari dia merasakan yang dia lelaki yang paling malang di dunia lantaran kesusahan hidupnya. Rakan Madrim, Kadir menyarankan agar Madrim rajin solat dan berdoa.

Madrim mengikut nasihat itu namun nasibnya masih tidak berubah. Sehinggalah Madrim dirompak pada suatu hari, dengan kecewa dan marah Madrim berdoa kepada Tuhan agar mengabulkan permintaannya dalam masa tiga hari. Jika tidak, Madrim mengancam akan berpaling dan menyembah Syaitan.

Tiba hari yang ketiga, Madrim telah di sambar petir. Dan sesuatu yang luar biasa telah berlaku pada Madrim selepas itu apabila dia tiba-tiba mempunyai kuasa istimewa.

Ulasan Filem

Pertama sekali biar aku katakan yang filem ini dibikin dalam acuan yang berbeza dari filem-filem terkini beliau kerana filem ini mengingatkan aku pada dua perkara iaitu Majid Majidi dan filem pendek arahan Majid Majidi berjudul God Will Come (1996).

Aku pernah menonton naskah-naskah bukan bersuntik Islamis Hanung Bramantyo. Brownies antaranya. (Ya, bukan semua karyanya bagus. Ada juga beberapa filem beliau yang agak seperti memenuhi ‘tuntutan ekonomi’).

Apa yang aku gemar mengenai Hanung, beliau mampu membawa sesuatu yang kecil menjadi besar dan seterusnya memberi simbahan sedar (dan kadangkala kontroversi).

Ia seolah persis cara fikir Majid Majidi yang gemar dengan idea mudah namun impaknya luarbiasa. (Lihat idea berkongsi kasut yang seolah remeh dalam Children of Heaven (1997) arahan Majid Majidi).

Juga antara similariti mereka, ilham mereka seolah hadir dari apa yang dilihat masyarakat, dan bukan dari angan fiksyen. Hanung mungkin belum se’dalam’ Majid Majidi dalam beberapa aspek, tetapi kecenderungan menghasilkan babak mengikut acuan emosi masyarakat memang aku kagumi.

Melalui filem Doa Yang Mengancam ini, ia tidak disuntik halwa Islamis secara terus (seperti Ayat-Ayat Cinta), tetapi diberikan suntikkan Islamis secara natural yang sudah cukup memberi bayangan cara fikir Hanung sendiri pada negaranya.

Keduanya, ikhlas dan berserah. Seperti yang kita maklum, kisah pelacur membantu anjing sememangnya agak popular di negara kita. Namun natijah dari kisah itu masih bergantung pada cara fikir kita terhadap kisah itu.

Jika ditafsir secara literal dan zahir, mungkin ada yang mengambil iktibar dengan cara faham,

“Jika membantu anjing boleh masuk syurga, jika membantu manusia pasti lebih pasti ke syurga bukan?”

Namun, adakah pasti kita mampu melunakkan jiwa dan mengikhlaskan hati serendah serahan bantu sang pelacur pada si anjing?

Dan mungkin itu ialah tunjang yang cuba dibawa Hanung dalam DYM. Iaitu maknawi sebuah ikhlas. Aku gemar dengan sisi sinis keliteralan cara fikir dangkal Madrim mengenai doa dan Tuhan.

Ia seolah penyedar lena insan, adakah selama ini kita pernah faham apa yang kita doa? Adakah doa kita benar-benar menjadi perantara hubungan antara insan dan Tuhan atau sekadar eskapisme? Atau sekadar menghafal baris jela lafaz doa bahasa arab atau sekadar pandai meng’Amiin’kan tanpa tahu apa maksud amiin itu sendiri?

Kerana itu, imbauan kisah pasangan adik beradik yang menulis surat kepada Tuhan demi merawat sakit ibu mereka dalam filem pendek God Will Come bagi aku seolah gambaran simbolik yang sama dalam memaknakan ikhlas dan berserah.

Di dalam filem ini dipaparkan dengan jelas babak-babak yang memaparkan Madrim berdoa (malahan dengan bahasa yang difahami Madrim sendiri) namun dia sendiri kabur dan samar dengan bulat doanya sendiri (sehingga akhirnya mengancam Tuhan).

Kerana itu, secara lunaknya DYM memberi tahu kita cara faham yang Tuhan lebih memahami keperluan naluri hati insan. (Lihat permintaan dan telahan fikir Madrim melalui doanya. Dia menyangka dengan kekayaan, dengan memperoleh isterinya yang lari dia mampu peroleh bahagia, namun Tuhan lebih memahami lantas memberi rentet peristiwa demi peristiwa yang tanpa sedar menyelesaikan masalahnya tanpa dia sedari. Bukankah itu cerminan terbaik kita dalam memahami kehendak diri?)

Ketiganya ialah kepentingan hujah, budaya dan keampuhan dalam agama. Begini. Pertamanya, aku melihat apabila Madrim di anugerahkan kuasa luar biasa, ia seolah sebagai titik perlian tepat. Mudah.

Apa yang kita dapat bayangkan jika sampai waktunya, Dajjal yang kita sudah maklum bakal muncul di akhir zaman akan muncul secara live telecast di TV, kemudian menampilkan setiap inci kebolehan kesaktiannya?

Apa kesiap siagaan kita dalam menghadapi fitnah (bukan dengan maksud fitnah melayu) itu? Berapa ramai agaknya manusia yang akan terpesona dengan kesaktiannya nanti?

Itu sudah cukup untuk membuat kita kembali kepada landasan agama yang tepat iaitu agama tertegak bersandarkan hujah, bukan kuasa luar biasa atau kesaktian. Mudahnya, kesaktian bukan solusi utama! (Malahan bukan cara Rasulullah SAW berdakwah dengan kesaktian!)

Keduanya, elemen budaya dan percaya agama. Apabila Madrim diuji dengan kuasa saktinya, seolah disengajakan pegangan Madrim pada Tuhan tidak digoyahkan walau sering alpa.

Walaupun agak istidraj, tetapi lihat setiap kali dia buntu dengan solusi, dia kembali mencari Tuhan. Ini merupakan kecantikkan naskah ini.

Madrim yang asalnya berbudaya dengan Tuhan melalui transformasi untuk berserah pada Tuhan. Ia seolah perincian Hanung dalam masyarakatnya yang sebenarnya terlalu ramai Madrim di dalam komunitinya.

Sesuatu yang menarik di sini, Hanung tidak mengorbankan budayanya (seperti yang terjadi dalam lambak filem yang berkiblat budaya barat. Ya bagi aku, budaya adalah tembok kedua jatidiri sesebuah masyarakat selepas agama).

Contoh, lihat sisi kebobrokan moral yang minimalis dalam DYM dan ditampung baik dengan kuasa makruf. Bagi aku Hanung bijak mengangkat makruf dalam kuasa sinemanya.

Suntikan ‘memperbaiki’ budaya dengan agama adalah manis dan lazat untuk audien memahaminya dengan hanya perlu ke ceruk desa tempatan untuk melihat realiti dan tunjang asas beragama iaitu percaya.

Kuasa percaya inilah yang mengingatkan aku pada filem pendek God Will Come iaitu perihal percaya dalam bulat sebuah harapan merupakan kunci kemustajaban.

Dan Madrim? Bila anda tonton, sila lihat di kala mana Madrim benar-benar bulat penyerahannya pada Tuhan.

Dari sisi sinema, Aming yang membawakan watak Aming (aku lihat beliau seiras Yassin SYJ) amat gemar menjadi Madrim dalam lakonannya. Maksudnya, dia mampu menyusahkan Madrim sesusah-susahnya. Namun aku paling tertarik dengan watak putih iaitu Kadir.

Antara perkara yang membuat Hanung agak masak dengan rinci setiap filemnya, dia agak gemar dengan pelakon yang hampir berbeza dalam setiap filemnya.

Melihat kepada kepenongkahan pengkarya akhir-akhir ini dalam untuk tidak memberi klise, aku melihat ada aura manis yang akan menyaingi klise.

Dan yang paling utama, aku berharap ia masih berjatidiri budaya tempatan sambil tidak mengorbankan isi Islamisasi yang semakin menjadi tempelan, bukan inti.

Kerana itu, aku masih mengharapkan akan ada Tsu Feh Sofiah lagi. Bila? Jawapannya pada ada pada masa. Dan DYM adalah naskah ringan manis untuk diteroka walau bukan naskah yang sangat sempurna.

Kerana filem yang baik ialah filem yang mampu membuat penontonnya berfikir.

Skor Filem: 8/10