Filem Secret Superstar. Jujurnya, saya sebenarnya agak curiga dengan filem Bollywood yang mengambil muzik sebagai subjek di dalam filem. Tidak, bukan saya meragui kualiti filem Bollywood.
Kebanyakkan filem dari sana yang saya tonton sebelum ini, sekiranya ada memaparkan babak perlu bermain alat muzik, kebanyakkannya cukup lewa dan culas.
Sama ada Shah Rukh Khan mahupun Salman Khan yang cemerlang dalam mempamer pelbagai jenis emosi, mereka masih ‘gagal’ memegang walau satu kord gitar dengan betul dalam babak yang memerlukan mereka ‘bergitar’.
Oleh itu saya cuba ‘rabunkan mata’ sebelum menonton filem ini kerana enggan dikecewakan oleh adegan bergitar yang terasa palsu dan malas.
Namun untuk naskhah ini, awal-awal lagi saya telah dikagumkan dengan permulaan filem yang memaparkan watak utamanya perlu bermain gitar. Dan Zaira Wasim, si pemegang watak utama berjaya meyakinkan saya dengan setiap chord progression yang digenggam.
Ya mungkin kerana ‘orang kuat’ di belakang filem ini ialah Aamir Khan yang juga dikenali sebagai seorang pemuzik, memungkinkan beliau mahukan ‘kesempurnaan’ dalam babak melibatkan penggunaan instrument muzik. Mungkin juga Zaira Wasim benar-benar boleh bermain gitar, tetapi itu bukan halnya.
Yang perlu kita lihat ialah usaha filem ini mahu memaparkan sesuatu yang ‘betul’ dan tidak berpura-pura seolah perkara salah itu betul bagi saya cukup menarik.
Sinopsis Filem Secret Supertar
Insiya (lakonan Zaira Wasim), seorang gadis berusia 14 tahun yang berbakat di dalam bidang muzik. Namun, akibat kekangan keluarga terutama ayahnya, bakat dan minatnya itu hanya mampu dipendam sahaja.
Sehinggalah jaringan internet memberikan Insiya idea untuk menyerlahkan bakatnya tanpa mendedahkan siapa dia sebenarnya.
Review Filem
Untuk filem ini saya melihat ada beberapa perkara yang mahu disentuh di dalam Secret Superstar. Hal patriaki, hal mengejar impian, hal pengorbanan atau hal cinta, namun ada beberapa perkara yang saya rasakan bernilai untuk difikirkan.
Pertamanya, saya gemar bagaimana filem ini membawa latar sebuah ‘rumah’. Sebelum itu, suka saya jelaskan, tak ada yang sesuatu yang baru melalui naskah ini. Ia masih lagi dalam kepompong modern fairy tale (yang mungkin tipikal Bollywood) dan mungkin mudah untuk diagak.
Tetapi apa yang bagi saya menarik ialah apabila ia mengambil latar rumah (subjek yang cukup dekat dengan kita) untuk menjadi saksi pada setiap emosi dan kejadian.
Di sini kita akan melihat turun naik setiap perasaan, dari curahan kasih, kemesraan sebuah keluarga, aroma patriaki, dominan seorang lelaki, semuanya ‘terpagar’ di dalam sebuah rumah yang terkadang sebuah syurga namun terkadang sebuah penjara.
Menariknya isi rumah itu diwarnai oleh setiap watak yang memberi gambaran berbeza bagaimana mereka menilai apa sebenarnya sebuah rumah pada cara fikir mereka. Bagi saya, ini merupakan satu hook asas yang cukup ampuh dalam mencipta tarikan pada penontonnya tanpa sedar.
Keduanya superstar itu sendiri. Saya gemar katakan yang filem ini bukan sebuah filem hal kejayaan dan pahit getir yang dilalui seorang superstar (sebagai contoh jika anda masih ingat filem Rockstar lakonan Mark Warlberg yang menceritakan perjalanan kesuksesan seorang individu menjadi superstar dan kemudian berhenti dari menjadi superstar).
Ya walaupun lingkar ceritanya berlegar pada semangat dan passion Insiya (yang mungkin boleh menjadi pemangkin dan pembakar semangat pada ‘the next Malaysian Yuna’), namun bagi saya filem ini bertunjang pada siapa ‘secret superstar’ di belakang seorang superstar.
Walaupun kita akan lebih melihat watak Insiya sebagai ‘bintang’ untuk kisah ini, tetapi jika kita menelusuri setiap perasaan seorang Insiya, kita akan melihat seorang ‘show stealer’ di belakang Insiya iaitu seorang ibu (lakonan Meher Vij) yang cukup faham dalam memberi sinar impian dan memahami setiap inci emosi anak gadisnya
Hubungan antara ibu dan anak seakan akrab Gilmore Girls, namun nyatanya keakraban dua watak ini memberi aura feminis yang kuat dalam melahirkan seorang secret superstar di balik seorang superstar.
Bagaimana Dengan Aamir Khan?
Bagi saya, apabila Aamir Khan hanya muncul secara fizikal di separuh masa kedua filem ini, ia sesuatu yang cukup menarik. Saya merasakan seolah filem ini mahu berdiri di kaki sendiri tanpa perlu ada ‘Aamir Khan Factor’.
Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, Aamir Khan hanya ‘penumpang’ di dalam naskhah ini. Namun itu tidak menjadi kekurangan malah menjadi kelebihan untuk Secret Superstar.
Kenangan yang mahu dikenang dari filem ini ini bukan seperti kita mengenang Aamir Khan sebagai si ayah bekas penggusti yang tegas atau Aamir Khan sebagai si alien yang terdampar di bumi.
Filem Secret Superstar mahu dikenang sebagai sebuah filem yang bercerita kerana ceritanya dan bukan bercerita kerana ada bintang berkelas A di dalam filemnya.
Patut Tonton
Ringkasnya, sebagai sebuah naskah fairy tale yang mampu membangkit semangat dan inspirasi, naskhah ini cukup berbaloi untuk ditonton.
Para peminat Bollywood yang tersentuh dengan lakonan Zaira Wasim di dalam Dangal tanpa ragu pasti akan jatuh cinta dan terkesan dengan naskhah ini.
Dan mungkin, ia akan membuat kita meninjau siapa ‘Secret Superstar’ di dalam rumah kita yang telah menjadikan kita siapa pada hari ini.