Filem zombie tamil? Bagaimana dengan cinta, tarian dan lagu? Jika anda sering mengikuti dan santuni karya filem Tamil dari India, tiga elemen ini ialah elemen wajib yang sentiasa ada sebagai bumbu sebuah filem Tamil. Seperti juga filem Hindi yang acapkali mengulang tiga formula ini dalam naskah mereka, begitu juga filem Tamil.

Cuma sejak bermula gerakan gelombang baharu filem India, mula muncul filem-filem yang cuba mengurangkan tiga elemen ini (ia masih ada cuma tidak terlalu dalam buaian fantasi dengan berlari di gunung-ganang seperti sebelum ini).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Filem Zombie: Miruthan (2016)

Sinopsis ringkas, Karthik (lakonan Jayam Ravi) merupakan seorang pegawai trafik yang hidup bersama adik perempuannya. Dalam masa yang sama, dalam diam dia jatuh cinta pada seorang doktor bernama Renuka (lakonan Lakshmi Menon).

Ketika tiba-tiba virus zombie menular, adik Karthik hilang secara tiba-tiba. Karthik yang cemas meminta bantuan Renuka untuk mengesan adiknya. Dan dalam misi mencari adiknya, Karthik terpaksa berhadapan dengan gerombolan zombie yang semakin menguasai kota.

Saya gemar ulangi yang zombie ialah subjek antarabangsa yang mampu merentasi mana-mana benua dan sentiasa boleh dijual. Perkataan zombie itu sendiri sudah mengundang kemahuan untuk tahu apa, bagaimana dan mengapa zombie di dalam filem itu wujud.

Menariknya, setiap negara punya trademark dan seni filem berdasarkan kesesuaian dengan masyarakat mereka sendiri. Dan apabila subjek zombie mahu diambil sebagai bahan filem, kita melihat bagaimana zombie disesuaikan dengan kecenderungan, budaya dan kreativiti sinema setiap negara.

Contoh, kita telah lihat Train to Busan yang disesuaikan dengan melodrama cara Korea yang sudah sinonim dengan sinema mereka. Itu juga yang berlaku pada filem Miruthan (2016) ini.

Saya gemar apabila filem ini tidak mengorbankan tiga elemen yang sudah sinonim dengan sinema Tamil, malah mengekalkan hal-hal fantasi kegemaran mereka namun dalam kadar yang tidak terlalu berlebihan.

Masih ada elemen cinta yang minimal namun manis, juga hal dramatic moment yang sinonim juga tidak dikorbankan malah, masih ada aksi-aksi pertarungan yang ada bau-bau melawan logik yang tidak terlalu melampau nilai fantasinya (pasti anda pernah menonton hero Tamil yang difantasikan mampu berlawan dengan begitu ramai penjahat yang bersenjata dengan kekuatan luarbiasa bukan?).

Di sinilah menariknya filem ini apabila dengan meminimalkan segala-galanya ia membuat filem ini bergerak pantas. Ia seolah sebuah filem zombie yang tidak mengorbankan kemahuan penonton filem Tamil itu sendiri.

Cuma dalam beberapa hal, saya agak ‘terasa’ rugi kerana kreativiti zombie Tamil pertama ini sekadar itu. (Di sini saya amat terasa yang ia semudah Train to Busan).

Ya, hal pencemaran, kimia kemudian hal kekeluargaan (mungkin lebih perlukan variasi untuk menghadir simpati) bagi saya formula ulangan untuk sebuah naskah zombie biasa.

Mungkin saya akan lebih gemar sekiranya ada variasi pada asbab kewujudan selain daripada ‘unik’ seorang zombie itu sendiri. Masih filem Jepun I am a Hero yang mana zombinya terperangkap dalam memori terakhir?

Dan satu lagi hal yang mungkin menganggu filem ini ialah konsistensi zombie itu sendiri dalam menjadi zombie. Ya, ada zombie yang bertukar sepantas seminit, dan ada yang mampu bertahan berjam-jam sebelum bertukar (mungkin alasan antibodi sebagai dinding terasing boleh diterima).

Cara serangan mereka sebagai zombie pula agak ‘sopan’ sebagai seorang zombie (kita pasti sudah melihat zombie Romero atau Fulci yang konsisten dalam aspek kebrutalan mereka? Atau filem ini merujuk pada zombie Warm Bodies atau Return of the Living Dead yang lebih berperasaan?). Malah terkadang saya seolah melihat gerombolan zombie yang ‘kekok’ menjadi zombie!

Namun masih ada beberapa aspek yang menarik iaitu zombie di dalam Miruthan dibuat punya kekuatan luarbiasa (ini juga tidak konsisten!) seolah sinis pada watak hero itu sendiri (yang sepatutnya lebih kuat dan hebat!)

Sudah pasti naskhah ini bukan naskhah yang amat hebat untuk peminat filem zombie apatah lagi jika masih mengimbau kenangan Romero atau Fulci. Tetapi sebagai sebuah naskhah feel good Tamil yang mudah dihadam, ini antara filem yang boleh menjadi penanda aras bahawa industri filem Tamil kini lebih bervariasi.

Dan ya, secara peribadi saya masih gemar naskhah ini sebagai sebuah filem dan tertunggu-tunggu juga akan sequelnya yang dikatakan masih dalam proses produksi.

Oh ya. Teringat hal unik seorang zombie, zombie Miruthan ini masih ada trademark mereka yang tersendiri. Mungkin hanya zombie di dalam Miruthan sahaja yang takut air!