Buriram United akan membawa kelebihan 1-0 ke perlawanan kedua final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 menentang Selangor minggu depan selepas tandukan Suphanat Mueanta pada minit ke-25 menghadiahkan kemenangan kepada juara bertahan itu di Stadium MBPJ, malam tadi.
Pemain antarabangsa Thailand itu menanduk masuk hantaran lintang Theerathon Bunmathan untuk memberikan pasukan kendalian Mark Jackson kelebihan tipis sebelum kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Buriram pada Rabu depan.
“Sangat gembira dengan keputusan 1-0 ini. Keadaan agak sukar dengan tahap kelembapan yang tinggi.” ” kata Theerathon Bunmathan.
“Pada separuh masa pertama, kami mencipta lebih banyak peluang manakala Selangor mencipta peluang pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan kedua nanti, kami perlu tampil lebih baik. Bermain di laman sendiri di hadapan penyokong kami, kami akan fokus untuk memenangi perlawanan dan meraih trofi.”
Suphanat diberi tempat dalam kesebelasan utama Buriram United FC selepas penjaring terbanyak bersama kejohanan, Guilherme Bissoli, digantung susulan kad merah yang diterimanya minggu lalu, manakala Robert Zulj menggantikan Goran Causic.
Suphanat hampir memecahkan benteng pertahanan Selangor FC seawal minit keenam apabila pemain sayap itu melepaskan rembatan melalui pintu gol. Pemain antarabangsa Thailand itu sekali lagi menjadi watak penting dalam gerakan menarik pada minit ke-10 yang menyaksikan Kingsley Schindler melepaskan rembatan tersasar.

Suphanat Balas Kepercayaan, Bantu Buriram
Selepas terlepas peluang sebelum itu, Suphanat tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-25. Pemain berusia 23 tahun itu pantas menyambut hantaran lambung Theerathon ke tiang dekat sebelum tenang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel.
Enam minit kemudian, Selangor menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan selepas Chrigor Moraes dijatuhkan, menghadiahkan sepakan percuma di luar kawasan penalti kepada tuan rumah.
Alvin Fortes mengambil sepakan tersebut dengan rembatan kaki kiri yang deras dan melengkung ke arah gol, namun Neil Etheridge berjaya menepis bola ke udara sebelum Mohammad Abualnadi menolak masuk bola ke dalam gawang. Bagaimanapun, pemain Jordan itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Chrigor kemudian melakukan larian pantas di bahagian kiri dengan baki enam minit sebelum tamat separuh masa pertama sebelum menghantar bola lintang rendah ke arah Fortes, tetapi bekas pemain antarabangsa Cape Verde itu melepaskan rembatan tinggi melepasi palang ketika diasak hebat pertahanan Buriram United yang pantas berkumpul semula.
Wakil Thailand itu sekali lagi terselamat kira-kira dua minit sebelum rehat apabila Chrigor menanduk sepakan percuma cantik Faisal Halim dari sebelah kiri, namun bola hanya sedikit tersasar di sebelah tiang kiri Etheridge.
Sikh Izhan menggagalkan usaha Suphanat untuk menjaringkan gol kedua pada saat-saat akhir separuh masa pertama apabila beliau bertindak cemerlang menepis rembatan rendah pemain sayap itu selepas Suphanat berjaya melepasi pertahanan hasil hantaran Supachai Chaided.
Supachai pula hampir menggandakan kelebihan sejurus selepas babak kedua bermula apabila beliau gagal menyentuh hantaran lintang berputar masuk daripada Suphanat, manakala Hugo Boumous hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-67, namun percubaannya hanya terkena tiang ketika Neil Etheridge sudah pun tertewas.
Theerathon Bunmathan kemudian melepaskan rembatan deras yang sedikit tinggi dan tersasar dari penjuru atas gol, sementara terjahan terakhir Harith Haiqal berjaya menghalang pemain gantian Phitiwat Sookjitthammakul daripada menambah jaringan Buriram United, sekali gus memastikan aksi final itu masih terbuka menjelang perlawanan kedua.
“Ia sesuatu yang mengecewakan. Bermain di laman sendiri, kami gagal memanfaatkan peluang yang ada. Kami mengawal permainan, menyerang dan mencipta peluang, tetapi gagal menyumbat bola ke dalam gawang.”
“Itu perkara paling penting malam ini,” ujar kapten Selangor, Faisal Halim.